SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan tuduhan beberapa anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa Malaysia menyokong keganasan sebagai tidak berasas, bermotif politik dan melampaui batas.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, dakwaan yang terkandung dalam surat kepada Setiausaha Negara AS itu turut mencemarkan nama baik Malaysia serta mengenepikan pendirian konsisten negara dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia sentiasa mengutuk keganasan dalam apa jua bentuk, namun pada masa sama terus mempertahankan hak sah rakyat Palestin selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pelbagai resolusi PBB.
“Mempertahankan keadilan dan hak rakyat yang berada di bawah pendudukan tidak boleh sama sekali disamakan dengan menyokong keganasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, cubaan pihak asing memaksa Malaysia mengubah dasar luar negaranya adalah tidak boleh diterima kerana mencerminkan sikap tidak menghormati prinsip kedaulatan dan campur tangan dalam urusan sesebuah negara.
Sehubungan itu, MAPIM mempersoalkan sama ada hanya Washington berhak menentukan dasar luar negara berdaulat, selain mengapa sokongan terhadap hak asasi rakyat Palestin disamakan dengan sokongan kepada keganasan serta mengapa pihak yang bersuara mengenai krisis kemanusiaan di Gaza dilabel ekstremis.
Mohd. Azmi menegaskan Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk merangka dan melaksanakan dasar luar berasaskan Perlembagaan, kepentingan negara, undang-undang antarabangsa dan prinsip moral tanpa dipengaruhi ancaman atau tekanan politik luar.
Beliau turut menggesa Kerajaan Malaysia menolak sekeras-kerasnya tuduhan tersebut serta menegaskan dasar luar negara tidak akan ditentukan oleh mana-mana kerajaan atau badan perundangan asing, sebaliknya mesti terus dihormati selaras dengan prinsip kedaulatan negara. – DETIK MALAYSIA
