KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya anak-anak buahnya sudah bersedia dari segi mental untuk memulakan kempen Piala ASEAN Hyundai 2026 dengan misi membawa pulang tiga mata ketika berdepan tuan rumah, Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B malam ini.
Cheng Hoe berkata, skuad negara tiba di Myanmar semalam dalam keadaan bersemangat selepas mengharungi kem latihan yang berjalan lancar.
“Kami baru tiba semalam, tetapi para pemain berada dalam suasana yang sangat positif. Kami menjalani beberapa hari latihan yang baik dan segala persiapan berjalan lancar.
“Saya yakin semua pemain tidak sabar untuk menghadapi perlawanan menentang Myanmar,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan yang turut dihadiri kapten pasukan, Paulo Josué.
Bagaimanapun, Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan Myanmar yang kini dibimbing jurulatih baharu.
Menurutnya, Myanmar merupakan pasukan yang bekerja keras, memiliki semangat juang tinggi serta gemar melakukan tekanan agresif sepanjang perlawanan.
“Kami perlu menghormati Myanmar. Mereka mempunyai jurulatih baharu, sebuah pasukan yang bekerja keras dan membuat persiapan rapi untuk kejohanan ini.
“Berdasarkan analisis kami, mereka bermain dengan intensiti tinggi, semangat juang yang kuat dan gemar melakukan tekanan agresif. Kami tahu apa yang bakal dihadapi,” ujarnya.
Meskipun menjangkakan aksi sengit, Cheng Hoe yakin pemain negara memiliki kualiti untuk menyerap tekanan serta menyesuaikan diri dengan corak permainan lawan.
“Saya percaya pemain mampu mengatasi tekanan dan berdepan cara permainan Myanmar. Kami juga tahu suasana di stadium pasti cukup hebat dengan sokongan penuh penyokong tuan rumah, namun kami sudah bersedia menghadapi cabaran itu,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan dalam kem Harimau Malaya, Cheng Hoe menyifatkan moral pemain berada pada tahap terbaik selain menunjukkan komitmen tinggi dalam memahami pendekatan taktikal yang diterapkan.
“Suasana dalam pasukan sangat positif. Para pemain menikmati latihan, mendengar arahan barisan kejurulatihan dan semuanya berjalan dengan baik.
“Mereka memahami apa yang diminta dan diharapkan dapat membuktikannya di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Paulo turut menyuarakan keyakinan sama apabila menegaskan semua pemain sedar betapa pentingnya memulakan kempen dengan kemenangan.
“Semua pemain memahami apa yang dimahukan jurulatih. Kini kami hanya perlu membuktikannya di atas padang.
“Kami akan memberikan segala-galanya untuk membawa pulang tiga mata pertama ke Malaysia,” katanya.
Malaysia dan Myanmar masing-masing memulakan kempen di bawah kepimpinan baharu, dengan keputusan positif diyakini mampu menjadi tonik penting dalam saingan sengit Kumpulan B. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
