TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang melaksanakan projek menaik taraf trek sintetik Stadium UPSI bagi menyediakan kemudahan latihan yang lebih berkualiti kepada atlet olahraga negara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, projek berkenaan dilaksanakan susulan usia trek sedia ada yang telah digunakan lebih 10 tahun dan menjadi medan latihan kepada ramai atlet pecut negara.
Menurut beliau, trek tersebut telah banyak berjasa dalam melahirkan atlet berkualiti yang mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan.
“Dengan kemasukan lebih ramai atlet olahraga kebangsaan ke UPSI pada tahun ini, sudah tentu mereka memerlukan kemudahan latihan yang lebih baik dan memenuhi piawaian semasa.
“Justeru, UPSI mengambil inisiatif menaik taraf trek sintetik stadium ini bagi memastikan atlet dapat menjalani latihan dalam keadaan lebih selesa dan kompetitif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa meninjau perkembangan projek berkenaan serta mempelajari kaedah pembinaan trek sintetik yang sedang dijalankan di stadium universiti itu.
Md. Amin berkata, pihaknya berharap kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan menjelang Ogos depan.
“Sesama kita doakan agar trek baharu ini dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Ogos 2026 bagi memberi manfaat kepada atlet UPSI dan skuad olahraga negara,” katanya.
Beliau turut mengajak atlet olahraga Malaysia memanfaatkan kemudahan tersebut apabila siap kelak sebagai pusat latihan yang mampu menyokong pembangunan prestasi sukan negara.
Projek naik taraf itu dilihat sebagai satu lagi usaha UPSI memperkukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif dalam pembangunan bakat sukan negara, khususnya dalam acara olahraga. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI