BOSTON – Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland membuktikan statusnya sebagai bintang utama apabila meledak dua gol untuk membantu negaranya mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium Gillette awal pagi tadi.
Iraq yang tampil buat pertama kali di pentas Piala Dunia sejak 1986 memulakan perlawanan dengan cukup agresif dan berjaya memberi tekanan kepada benteng Norway pada minit-minit awal.
Namun, Norway terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Haaland yang bijak menyempurnakan hantaran lintang David Moller Wolfe untuk mencipta sejarah peribadi dengan gol sulungnya di pentas Piala Dunia.
Kegembiraan skuad Scandinavia itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Iraq menyamakan kedudukan 10 minit kemudian hasil tandukan kemas Aymen Hussein yang menewaskan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.
Ketika Iraq dilihat semakin mendapat rentak, kesilapan penjaga gol berpengalaman, Jalal Hassan pada minit ke-41 mengundang padah apabila Haaland pantas memanfaatkan peluang tersebut untuk meledak gol kedua peribadinya.
Bersambung babak kedua, Iraq terus berusaha memburu gol penyamaan, namun beberapa peluang yang terhasil gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Sebaliknya, Norway semakin selesa menguasai permainan apabila pertahanan, Leo Ostigard menanduk masuk sepakan penjuru Martin Odegaard pada minit ke-76 untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1.
Kristian Thorstvedt kemudian melengkapkan pesta gol Norway apabila menanduk masuk hantaran Haaland pada penghujung perlawanan bagi memastikan kemenangan bergaya 4-1.
Atas aksi cemerlangnya dengan dua gol dan satu bantuan jaringan, Haaland dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Kemenangan itu meletakkan Norway dalam kedudukan terbaik menjelang pertemuan dengan Senegal pada 23 Jun, manakala Iraq berdepan tugas sukar menentang Perancis dalam aksi seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NFF