KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu memperkukuh perpaduan dan kerjasama strategik bagi mempertahankan Palestin serta mendepani pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, ketika ini ummah memiliki kekuatan melebihi dua bilion penduduk di seluruh dunia serta sumber manusia, kekayaan alam dan warisan intelektual yang besar.
Sebaliknya, katanya dunia Islam masih berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik bersenjata, kemiskinan, perpindahan paksa penduduk, perpecahan politik, Islamofobia dan kebergantungan ekonomi.
Menurut beliau, cabaran tersebut bukan sekadar bersifat politik atau ekonomi, sebaliknya merupakan cabaran ketamadunan yang memerlukan pembaharuan pemikiran dan tindakan berasaskan al-Quran, sunnah serta kefahaman terhadap realiti semasa.
“Ummah tidak boleh membicarakan masa depan tanpa menangani kezaliman dan konflik besar yang sedang berlaku, khususnya penderitaan rakyat Palestin, kemusnahan di Gaza serta ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa,” katanya sempena Persidangan Antarabangsa Muslim World League 2026 di sini.
Beliau berkata, Mapim kekal menegaskan bahawa perjuangan Palestin merupakan isu teras ummah yang perlu terus diperjuangkan melalui saluran diplomatik, kemanusiaan, undang-undang dan advokasi antarabangsa.
Katanya, rakyat Palestin mempunyai hak yang sah untuk menentukan nasib sendiri, bebas daripada penjajahan, menikmati kedaulatan negara serta hidup dalam keamanan dan maruah.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menggesa gencatan senjata menyeluruh dan berkekalan di Gaza, selain menuntut akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan orang awam serta pembinaan semula infrastruktur yang musnah akibat peperangan.
Mengenai Masjid Al-Aqsa, beliau berkata, kesucian dan status sejarah tapak suci itu mesti dipelihara, manakala sebarang usaha mengubah identiti sejarah, agama dan perundangan Al-Quds perlu ditolak.
Mohd. Azmi turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang berpotensi mencetuskan konflik serantau lebih besar.
“Pertikaian antara negara hendaklah diselesaikan melalui diplomasi dan dialog, manakala serangan terhadap orang awam serta infrastruktur awam mesti dikutuk dan ditolak,” katanya.
Beliau berkata, selain Palestin, dunia Islam juga perlu terus menunjukkan solidariti terhadap komuniti Muslim yang berdepan penindasan dan krisis kemanusiaan termasuk di Kashmir, Rohingya, Uyghur serta minoriti Muslim di India.
Menurutnya, masa depan ummah bergantung kepada keupayaan umat Islam menterjemahkan nilai tauhid, keadilan, rahmah, ilmu dan amanah ke dalam dasar, institusi serta tindakan yang mampu membawa manfaat kepada masyarakat global.
“Respons ummah tidak boleh terhenti pada kenyataan dan kecaman semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kesatuan strategik, diplomasi berkesan, kepimpinan kemanusiaan, kerjasama ekonomi dan pembinaan institusi yang kukuh,” katanya. – DETIK MALAYSIA