KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan umat Islam perlu memperkukuh perpaduan, meningkatkan kerjasama strategik dan memperkasakan institusi ummah bagi mendepani pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun umat Islam kini melebihi dua bilion orang di seluruh dunia serta memiliki sumber manusia, kekayaan alam dan warisan intelektual yang besar, dunia Islam masih berdepan konflik bersenjata, kemiskinan, perpindahan penduduk, ketidakstabilan politik, Islamofobia dan kebergantungan ekonomi.
Menurut beliau, cabaran berkenaan bukan sekadar bersifat politik atau ekonomi, sebaliknya melibatkan isu ketamadunan yang memerlukan pendekatan berpaksikan al-Quran, sunnah dan realiti semasa.
Beliau berkata demikian menerusi kertas pandangan bertajuk MAPIM’s Perspective and Future Vision of the Ummah yang dibentangkan sempena Persidangan Antarabangsa Liga Dunia Islam 2026 di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Mapim menegaskan isu Palestin kekal sebagai agenda utama ummah dan menuntut hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, bebas daripada penjajahan serta menikmati kedaulatan, keselamatan dan maruah seperti yang dijamin undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menggesa gencatan senjata berkekalan di Gaza, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan orang awam serta pembinaan semula infrastruktur yang musnah akibat peperangan.
Mengenai Masjid Al-Aqsa, organisasi itu menegaskan kesucian dan status sejarahnya perlu dipelihara, selain menolak sebarang tindakan yang mengubah karakter sejarah, agama dan perundangan bandar Baitulmaqdis.
Selain Palestin, Mapim turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik di Lubnan, ketegangan melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta nasib komuniti Islam tertindas termasuk Rohingya, Kashmir, Uyghur dan minoriti Muslim di India.
Bagi memperkukuh masa depan ummah, Mohd Azmi menggariskan tujuh visi utama merangkumi pengukuhan perpaduan, kepimpinan kemanusiaan global, pembangunan ekonomi Islam, pengembangan konsep Halalan Tayyiban, penguasaan ilmu dan teknologi, pemerkasaan belia serta wanita, dan usaha memperjuangkan keamanan serta keadilan sejagat.
Menurut Mohd. Azmi, dunia Islam perlu melabur secara serius dalam penyelidikan saintifik, kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, pendidikan tinggi dan ekosistem inovasi bagi melahirkan generasi baharu pemikir, saintis dan inovator Muslim.
Beliau berkata, masa depan ummah bergantung kepada kemampuan umat Islam mengembalikan nilai teras, memperkukuh institusi dan bekerjasama demi keamanan, keadilan serta kemajuan sejagat.
“Ummah mempunyai asas kerohanian, kekuatan demografi dan warisan intelektual untuk muncul sebagai kuasa yang menyumbang kepada keamanan, keadilan dan pembangunan manusia sejagat,” katanya. – DETIK MALAYSIA