PUTRAJAYA – Tindakan dua premis makanan meletakkan peralatan perniagaan di kawasan awam tanpa kebenaran membawa padah apabila Perbadanan Putrajaya (PPj) menyita sebanyak 112 kerusi dan 25 meja dalam Operasi Halangan Premis Perniagaan, Jumaat lalu.
Operasi bermula pukul 4 petang hingga 7.30 malam itu dijalankan di sebuah restoran di Presint 8 dan di Presint 2.
PPj dalam satu kenyataan berkata, operasi berkenaan membabitkan anggota Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pelesenan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan penggunaan kawasan awam oleh premis perniagaan.
Menurut kenyataan itu, tindakan sitaan dibuat di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan barangan berkaitan perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran.
“Sebanyak 112 kerusi dan 25 meja telah disita daripada kedua-dua premis yang terlibat.
“Selain itu, Bahagian Pelesenan PPj turut mengeluarkan dua kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Iklan atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah daripada Perbadanan Putrajaya,” katanya.
Menurut PPj, semua barangan yang disita telah dibawa ke Depo Penguatkuasaan Presint 9 untuk tindakan lanjut.
“Operasi berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Perbadanan Putrajaya
