SEATTLE – Impian tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS) untuk melangkah lebih jauh pada kempen Piala Dunia 2026 berkecai selepas dibelasah Belgium 4-1 pada aksi pusingan 16 terbaik awal pagi tadi.
Skuad Red Devils tampil cukup klinikal apabila memperoleh dua gol awal menerusi Charles De Ketelaere yang memanfaatkan kelemahan benteng pertahanan AS untuk meletakkan Belgium selesa menguasai perlawanan.
Amerika Syarikat sempat menghidupkan harapan apabila Malik Tillman menjaringkan gol pada babak pertama, namun kegagalan barisan pertahanan mengawal keadaan terus menghukum mereka.
Kesilapan pertahanan AS membuka ruang buat Hans Vanaken meledak gol ketiga Belgium, sekali gus meletakkan pasukan Eropah itu semakin hampir mengesahkan tempat ke suku akhir.
Ketika AS cuba memburu gol untuk merapatkan jurang, Romelu Lukaku menutup terus peluang kebangkitan mereka apabila menyempurnakan gol keempat Belgium pada saat-saat akhir perlawanan.
Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan Belgium menyingkirkan AS daripada saingan Piala Dunia 2026, sekali gus menempah pertemuan dengan Sepanyol pada aksi suku akhir nanti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto Getty Images
