KUALA TERENGGANU – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Teluk Ketapang menerima kunjungan seramai 123 delegasi sempena lawatan penanda aras yang berlangsung di Dewan Komuniti Pusat Rehabilitasi Kampung Telaga Daing, semalam.
Delegasi itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuning, Yusri Bakir serta disertai Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah, Hairul Nizam Abd. Rahman, Timbalan Pengarah JAKOA Negeri Perak dan Kedah, Khairul Amilin Ibrahim, 95 Tok Batin dari daerah Batang Padang, Kinta, Kampar dan Kuala Kangsar serta 24 pegawai JAKOA.
Menurut penganjur, Homestay Teluk Ketapang dipilih sebagai lokasi sesi taklimat dan soal jawab mengenai amalan terbaik (best practices) bagi memberi pendedahan kepada Tok Batin serta pegawai JAKOA dalam aspek pembangunan komuniti.

Antara topik yang dikongsikan ialah pengurusan strategik kampung, pembangunan ekonomi menerusi sektor pelancongan, pengurusan koperasi berkonsepkan perusahaan sosial (MySE), konsep sedekah melalui Tabung Fund For Ummah (FFU) serta pelaksanaan program edu-pelancongan dan eko-pelancongan yang memberi impak kepada ekonomi penduduk setempat.
Delegasi turut dibawa melawat Noor Arfa Craft Complex bagi melihat sendiri proses pembuatan batik dan songket.
Yusri berharap sesi dialog dan perkongsian ilmu itu dapat menjadi inspirasi kepada pegawai serta Tok Batin dalam usaha memperkasa pembangunan komuniti Orang Asli di Perak dan Kedah. – DETIK MALAYSIA
