KUALA LUMPUR – Jurgen Klopp dilaporkan bersetuju untuk kembali ke dunia kejurulatihan apabila bakal dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Jerman bagi menggantikan Julian Nagelsmann.
Menurut beberapa laporan media Eropah, termasuk pakar perpindahan Fabrizio Romano, bekas pengendali Liverpool itu telah menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), manakala beberapa butiran terakhir kontrak masih dimuktamadkan.
Pelantikan itu dibuat susulan peletakan jawatan Nagelsmann selepas Jerman tersingkir secara mengejut kepada Paraguay menerusi penentuan penalti pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Klopp, 59, meninggalkan Liverpool pada 2024 sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Bola Sepak Global Red Bull. Bagaimanapun, peluang membimbing skuad kebangsaan negaranya dikatakan menjadi faktor utama beliau bersedia kembali ke bangku kejurulatihan.
Romano turut menggunakan frasa ikonik “Here We Go” bagi mengesahkan persetujuan tersebut, namun sehingga kini DFB masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan Klopp.
Laporan turut menyebut Klopp bakal diberikan kuasa lebih besar dalam usaha membentuk semula struktur bola sepak Jerman, termasuk pembangunan pemain muda dan hala tuju pasukan kebangsaan, selain berkemungkinan membawa semula bekas pembantunya di Liverpool, Pep Lijnders, menyertai barisan kejurulatihan. – DETIK MALAYSIA
