KUALA LUMPUR – Sebuah unit apartmen di tingkat tiga di Taman Sri Rampai di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 pada pukul 9.44 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju ke lokasi dengan bantuan BBP Setapak dan BBP Keramat.
Menurut PGO Kuala Lumpur, setibanya pasukan bomba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah unit apartmen di tingkat tiga.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara ofensif dan defensif sebelum berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 10.20 malam.
“Kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 20 x 60 kaki dengan anggaran kemusnahan sebanyak 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi pemadaman membabitkan 21 anggota dengan kekuatan lima jentera, terdiri daripada tiga Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JBPM KL
