EAST RUTHERFORD – Impian Brazil memburu gelaran keenam Piala Dunia berkecai apabila dikejutkan Norway 0-2 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium New York New Jersey, awal pagi tadi.
Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama, penyerang sensasi Norway, Erling Haaland muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-79 dan 89 untuk menyingkirkan gergasi Amerika Selatan itu.
Brazil sebenarnya berpeluang mendahului lebih awal, namun Bruno Guimaraes mensia-siakan sepakan penalti pada babak pertama selepas percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Norway, Ørjan Nyland.
Norway memanfaatkan kegagalan Brazil menyudahkan peluang apabila Haaland meledak gol pembukaan hasil bantuan Andreas Schjelderup sebelum penyerang itu melengkapkan kemenangan bergaya menerusi jaringan kedua, sekali lagi hasil hantaran Schjelderup.
Nyland turut muncul antara watak penting kemenangan Norway apabila mempamerkan aksi cemerlang dengan beberapa siri penyelamatan bagi menafikan percubaan Vinicius Junior dan rakan sepasukan.
Kemenangan itu menyaksikan Norway melangkah ke suku akhir untuk bertemu pemenang perlawanan antara Mexico dan England, manakala Brazil kendalian Carlo Ancelotti terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Dunia 2026.
Dua jaringan tersebut turut menyaksikan Haaland terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling berbisa di kejohanan apabila berkongsi kedudukan teratas carta penjaring terbanyak dengan tujuh gol. – DETIK MALAYSIA
