MEXICO CITY – Ketika ramai wartawan sukan sudah lama bersara, wartawan veteran Argentina, Enrique Macaya Márquez terus membuktikan kecintaannya terhadap dunia kewartawanan apabila membuat liputan Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus menjadi kejohanan ke-18 berturut-turut yang disertainya.
Macaya Márquez, 91, mula membuat liputan Piala Dunia sejak edisi 1958 di Sweden ketika berusia 23 tahun dan tidak pernah terlepas menyaksikan sendiri kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Sepanjang hampir tujuh dekad bergelar wartawan sukan, beliau menyaksikan kemunculan ramai legenda dunia termasuk Pelé, Diego Maradona dan Lionel Messi, selain mengikuti kebangkitan generasi baharu seperti Kylian Mbappé.
Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, beliau menerima pengiktirafan daripada FIFA dan International Sports Press Association (AIPS) atas pencapaiannya membuat liputan Piala Dunia terbanyak dalam sejarah.
Menerusi satu perkongsian video di media sosial FIFA, Macaya Márquez berkongsi detik-detik paling diingatinya sepanjang membuat liputan 18 edisi Piala Dunia, termasuk menyaksikan sendiri pelbagai aksi bersejarah yang membentuk evolusi bola sepak dunia.
Macaya Márquez memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan ketika berusia 15 tahun dan sepanjang kariernya pernah bertugas di akhbar, radio serta televisyen di Argentina, selain menghasilkan buku yang menghimpunkan pengalaman luasnya membuat liputan Piala Dunia.
Kehadirannya di Piala Dunia 2026 sekali lagi membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada dunia kewartawanan, malah menjadikan beliau antara ikon paling dihormati dalam sejarah liputan sukan antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
