Dari kiri - Timbalan Ketua Pengarah JPNIN, Norzahiruddin Amin Husin(kiri) sewaktu hadir menyempurnakan Program Dialog Harmoni 2026 Peringkat Negeri Terengganu yang telah berlangsung pada 4 Julai 2026 bertempat di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu.
KUALA NERUS – Pendedahan awal kepada nilai kepelbagaian masyarakat dilihat penting dalam membentuk generasi muda yang mampu menghayati keharmonian dalam negara berbilang kaum dan agama.
Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu mengambil inisiatif menganjurkan Program Dialog Harmoni Peringkat Negeri Terengganu 2026 yang berlangsung selama sehari di sini.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan agama, komuniti setempat serta mahasiswa institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi memperkukuh kefahaman dan hubungan antara kaum menerusi sesi dialog yang lebih terbuka dan berstruktur.

Timbalan Ketua Pengarah JPNIN, Norzahiruddin Amin Husin berkata, program seumpama itu berperanan sebagai platform penting dalam merapatkan jurang kefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang.
“Sebahagian golongan muda masih kurang terdedah kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk, sekali gus mewujudkan jurang dari segi kefahaman dan interaksi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Beliau berkata, faktor persekitaran serta latar belakang komuniti turut mempengaruhi tahap pendedahan generasi muda terhadap kepelbagaian budaya dan agama.
“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan golongan muda dibentuk dengan nilai perpaduan yang kukuh agar mampu berinteraksi secara harmoni dalam masyarakat,” katanya.

Program Dialog Harmoni merupakan inisiatif yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam satu platform interaksi inklusif dan berhemah bagi memperkukuh perpaduan melalui perkongsian pandangan secara matang.
Pelaksanaannya yang melibatkan pemimpin komuniti, pertubuhan agama, agensi kerajaan serta golongan muda khususnya mahasiswa dilihat selari dengan aspirasi Harmoni MADANI dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan hidup dalam suasana aman serta sejahtera. – DETIK MALAYSIA
