KELANA JAYA – Empat pemain Liga Malaysia disahkan tidak boleh beraksi dalam perlawanan rasmi selepas keputusan muktamad Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang sebelum ini dikenakan oleh FIFA.
Perkembangan itu disahkan oleh Malaysian Football League (MFL) selepas keputusan yang dinanti-nantikan dari Lausanne, Switzerland akhirnya diumumkan.
Bagaimanapun, keputusan CAS membawa sedikit kelegaan apabila penggantungan tersebut hanya terpakai kepada perlawanan rasmi, bukannya semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Ini bermakna pemain yang terlibat masih dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan masing-masing serta menggunakan kemudahan kelab, namun mereka tetap tidak boleh diturunkan dalam mana-mana aksi kompetitif sepanjang tempoh penggantungan.
Pada asalnya, hukuman FIFA melarang pemain daripada menyertai semua aktiviti bola sepak, termasuk latihan dan kehadiran di fasiliti kelab.
Keputusan terbaharu CAS itu memberi ruang kepada pemain untuk mengekalkan tahap kecergasan, namun tetap menjadi tamparan hebat kepada pasukan yang kehilangan khidmat tonggak utama mereka.
Tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terkesan ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, sekali gus memaksa skuad Harimau Selatan merancang semula strategi bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026.
Dalam masa sama, Kuching City FC turut menerima impak besar apabila terpaksa beraksi tanpa tonggak pertahanan mereka, Gabriel Palmero.
Ketiadaan pemain-pemain tersebut dijangka memberi cabaran besar kepada pengurusan pasukan, khususnya dalam usaha mengekalkan prestasi konsisten sepanjang musim baharu Liga Malaysia. – DETIK MALAYSIA