KUALA NERUS – Seramai 573 peserta dari Malaysia, Indonesia, Kemboja dan selatan Thailand bakal menyertai Southeast Asia Olympiad Championship and Sustainable Tourism Workshop Senior High School 2026 di daerah ini bermula 8 hingga 10 September ini.
Program tersebut menghimpunkan peserta dari Kemboja, Aceh Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Jawa Barat, Kepulauan Riau, Jakarta, Jawa Timur, selatan Thailand, Kelantan dan Terengganu.
Jawa Timur mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 202 peserta, diikuti Terengganu (100), selatan Thailand (62), Aceh Barat (45), Kepulauan Riau (38), Jakarta (35), Sumatera Barat (30), Sumatera Utara (25), Kemboja (22), Kelantan (12) dan Jawa Barat (dua).
Mesyuarat khas program itu turut diadakan hari ini di Bilik Akasia, Pejabat Daerah Kuala Nerus yang dipengerusikan wakil Pegawai Daerah dan dihadiri 27 wakil agensi serta institusi berkaitan.
Antara yang hadir ialah wakil Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Kemahiran MARA (IKMA) Zon Timur, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Taman Tamadun Islam (TTI), NACC, Jabatan Kesihatan Terengganu, Perhubungan Puteri Islam Terengganu serta beberapa agensi lain.
Majlis perasmian program dijadualkan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri pada 8 September ini.
Acara Olympiad Championship pula akan berlangsung di UMT pada 9 September, manakala Bengkel Kelestarian Pelancongan, majlis penutup dan penyampaian pingat kepada peserta dijadualkan di Dewan Jubli Perak, Pejabat Daerah Kuala Nerus pada 10 September.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkukuh kedudukan Kuala Nerus sebagai ‘Lembah Pendidikan’ yang menggabungkan elemen pendidikan, jaringan serantau dan pelancongan lestari. – DETIK MALAYSIA
