Raja Isa
KUALA LUMPUR – Indonesia tidak boleh mengulangi kesilapan terburu-buru ketika memburu gol jika mahu menewaskan Laos pada aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Bawah 20 Tahun (B-20) esok.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Raja Isa Raja Akram berkata, Indonesia memiliki kualiti untuk mencatat kemenangan dengan kelebihan lebih dua gol, namun pemain perlu lebih tenang dalam membina serangan.
“Indonesia jangan ulang sikap mahu cepat dan terburu-buru untuk menjaringkan gol seperti ketika berdepan Malaysia.
“Penting untuk mengekalkan tekanan tinggi secara konsisten sepanjang 90 minit termasuk masa tambahan. Apabila berlaku peralihan menyerang, pemain perlu cepat sampai ke kawasan lawan menerusi kombinasi hantaran pantas tetapi tidak terburu-buru,” katanya ketika dihubungi DETIK MALAYSIA hari ini.
Menurutnya, Indonesia juga perlu menggunakan sepenuhnya ruang di bahagian sayap kiri dan kanan untuk membuka pertahanan Laos.
“Jika Laos memilih bertahan di kawasan pertahanan, keadaan itu sebenarnya memudahkan Indonesia melakukan gerakan kombinasi, hantaran pendek dan hantaran ke belakang dari sebelah kiri serta kanan.
“Namun, jika Laos berani menguasai kawasan tengah, melakukan tekanan dan segera melancarkan serangan balas selepas peralihan permainan, Indonesia perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Raja Isa pada masa sama mengingatkan Indonesia supaya tidak menganggap Laos sebagai lawan mudah kerana perkembangan pasukan itu di peringkat akar umbi dan pembangunan pemain muda semakin menunjukkan hasil.
“Laos bukan lagi pasukan belasahan. Mereka sudah memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi dan pemain muda, malah Australia hanya mampu menang 2-0 ketika menentang mereka.
“Pengalaman pemain Indonesia yang melalui proses di peringkat remaja dunia, termasuk Bawah 17 Tahun, boleh menjadi kekuatan untuk mengatasi Laos,” katanya.
Mengulas pertemuan Malaysia dengan Australia pula, Raja Isa menyifatkan aksi itu sebagai perlawanan hidup mati buat skuad kendalian Shukor Adan.
“Malaysia wajib sekurang-kurangnya seri untuk menghidupkan peluang ke pusingan akhir. Kalau kalah, peluang mereka akan sangat bergantung kepada keputusan Indonesia menentang Laos.
“Perlawanan dengan Australia memerlukan kejelian Shukor Adan. Kehadiran Datuk Ong Kim Swee sebagai pengarah teknikal juga sangat membantu dari segi pengalaman dan perkongsian taktikal,” katanya.
Beliau percaya keputusan seri yang dicatat Malaysia ketika menentang Indonesia sebelum ini turut memberikan input penting kepada barisan kejurulatihan.
“Keputusan seri ketika menentang Indonesia saya yakin sebahagian daripada perkara yang dikongsi untuk membantu Shukor Adan menghadapi Australia,” katanya.
Menurut Raja Isa, kekuatan fizikal dan corak permainan Australia yang konsisten di semua peringkat menjadikan Malaysia perlu berdisiplin ketika bertahan.
“Kalau Shukor Adan menggunakan strategi bertahan dan serangan balas, kekompakan pasukan selepas peralihan daripada menyerang kepada bertahan perlu dilakukan dengan pantas.
“Pemain yang dekat dengan bola perlu memberi tekanan, manakala pemain tanpa bola mesti menutup ruang dengan baik supaya Australia tidak mudah melakukan hantaran menembusi pertahanan.
“Situasi bola mati, terutama sepakan sudut, juga wajib diberi perhatian. Percubaan dari jarak 30 hingga 40 meter turut perlu ditutup,” katanya.
Raja Isa berkata, Australia hanya memerlukan kemenangan untuk mengesahkan kemaraan, manakala keputusan seri akan menjadikan aksi terakhir Indonesia menentang Laos sebagai penentu penting.
“Jika Australia seri dengan Malaysia dan Indonesia menang lebih daripada dua gol, perlawanan terakhir akan menentukan siapa yang layak secara automatik.
“Malaysia perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 untuk membuka peluang berada di tempat kedua sebelum mengharapkan kedudukan sebagai antara tujuh naib juara terbaik bagi melangkah ke pusingan akhir,” katanya. – DETIK MALAYSIA
