KUALA LUMPUR – Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengesahkan kesemua sembilan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata setakat jam 3 petang waktu Malaysia, peguam daripada pertubuhan hak asasi Adalah telah berjaya menemui 100 daripada 145 delegasi yang ditahan, termasuk sembilan rakyat Malaysia.
“Kesemua mereka disahkan tidak mengalami kecederaan, namun MyCARE akan mengatur pemeriksaan kesihatan sejurus mereka dibebaskan bagi memastikan keadaan mereka benar-benar baik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, tujuh daripada sembilan delegasi Malaysia telah menandatangani surat deportasi, manakala status dua lagi masih belum diketahui.
MyCare kini menunggu laporan lanjut daripada peguam Adalah, dengan proses tribunal dijangka selesai menjelang tengah malam waktu Malaysia.
Kamarul Zaman berkata, peguam Adalah melaporkan terdapat beberapa peserta misi yang dikasari oleh tentera Israel, termasuk ditampar, ditendang dan dicengkam secara agresif semasa serta selepas pemintasan kapal.
“Perlu ditegaskan bahawa semua delegasi ini adalah pembawa bantuan kemanusiaan terdiri daripada doktor perubatan dan wartawan antarabangsa, bukan pengganas seperti yang didakwa rejim Israel,” tegasnya.
“Mereka tidak membawa senjata, sebaliknya membawa harapan, ubat-ubatan dan kasih untuk rakyat Palestin di Gaza. Namun misi kemanusiaan ini telah dihalang di tengah lautan sebelum sempat tiba ke destinasi,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu dalam doa dan solat hajat bagi memohon keselamatan semua aktivis yang masih ditahan serta memudahkan urusan pembebasan mereka.
“Doakan agar setiap usaha murni ini dipermudahkan, keselamatan mereka terpelihara dan semangat perjuangan ini terus menyala di mana jua mereka berada,” katanya. - DETIK MALAYSIA