KOTA BHARU – Star City FC meraih tiga mata penuh selepas membelasah Kelantan Red Warrior (KRW) 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Azfar Fikri muncul wira pasukan pelawat apabila meledak hatrik dalam perlawanan berkenaan.
Star City membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi tandukan Azfar hasil hantaran Endrick Dos Santos, dengan gol itu disahkan selepas VAR membatalkan keputusan ofsaid awal.
Pedro Santos kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-45 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Moses Atede sebelum Azfar menjadikan kedudukan 3-0 hasil umpanan Douglas Oliveira.
KRW bangkit pada babak kedua apabila Mohd Faudzi merapatkan jurang pada minit ke-52 menerusi penyudah hasil hantaran rakan sepasukan.
Bagaimanapun, Azfar melengkapkan hatrik pada minit ke-60 menerusi gerakan individu sebelum rembatannya terbias pemain pertahanan untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Kapten KRW, Arham Khusyairi, kemudian meledak gol jarak jauh pada minit ke-68 bagi mengurangkan defisit kepada 2-4.
Ketua jurulatih KRW, Irfan Bakti, memasukkan penyerang muda, Rizuan Muda bagi menggantikan Mazwan Che Mat dalam usaha menambah pilihan serangan.
Star City akhirnya mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ramon Machado selepas Oliveira dikasari di dalam kotak penalti.
KRW, yang beraksi dalam Liga Super buat kali pertama selepas menggantikan PDRM FC yang menarik diri, akan menentang Sabah FC pada 21 November ini.
Sementara itu, Star City dijadual bertemu Selangor sekali lagi dalam saingan Liga Super pada 1 November depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SCFC
