KUALA LUMPUR – Bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, berpeluang mencipta sejarah apabila memburu gelaran ketiga Pemain Terbaik Lelaki pada Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2026.
Pemain berusia 35 tahun yang mewakili Al-Hilal itu pernah memenangi anugerah berkenaan pada 2022 dan tahun lalu.
Al-Dawsari yang tercalon buat kali ketiga dalam empat edisi turut bersaing dengan rakan senegaranya, Feras Al-Brikan dari Al-Ahli dan pemain Iran, Alireza Beiranvand yang mewakili Tractor FC.
Al-Brikan yang pertama kali tercalon menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara AFC Elit ketika Al-Ahli mempertahankan kejuaraan.
Sementara itu, Beiranvand, 34, kembali tercalon buat kali kedua selepas penampilan pertamanya pada 2019.
Bagi kategori Pemain Terbaik Wanita, tiga calon ialah Holly McNamara dari Australia, Kim Kyong-yong dari Korea Utara dan Kim Hye-ri dari Korea Selatan.
Thailand turut mempunyai wakil dalam kategori Pemain Futsal Terbaik menerusi Muhammad Osamanmusa yang beraksi bersama kelab Sepanyol, Jimbee Cartagena.
Dia bakal bersaing dengan dua pemain Iran, Hossein Tayebi dan Saeid Ahmad Abbasi.
Persatuan Bolasepak Thailand turut dicalonkan bagi kategori Persatuan Ahli Terbaik dalam kelompok Diamond, bersama China dan Vietnam.
Majlis Anugerah AFC Bangkok 2026 edisi ke-30 itu akan berlangsung di Aksra Theatre King Power, Bangkok pada 19 November ini.
Thailand menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas penganjuran pertama pada 2017, manakala pemenang anugerah utama AFC Diamond of Asia akan diumumkan pada majlis berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
