CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan rakaman video berkaitan kes salah laku seksual melibatkan beberapa pelajar di sebuah sekolah di Melaka.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, laporan media berhubung kes tersebut perlu dibuat secara beretika dan bertanggungjawab tanpa menyiarkan kandungan bersifat sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
“Pengamal media juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenalpasti, selaras dengan larangan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” katanya.
Menurut MCMC, orang ramai turut diingatkan bahawa menyebar atau mengedarkan video atau bahan tidak bermoral berkaitan kes tersebut melalui media sosial adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Katanya, MCMC kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan media sosial bagi memastikan kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan segera daripada platform terbabit.
MCMC turut menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan dan mengutamakan kesejahteraan mangsa serta keluarganya. - DETIK MALAYSIA