SERI KEMBANGAN – 100PLUS dan Persatuan Golf Malaysia (MGA) hari ini melancarkan 100PLUS MGA NJDP Junior Series, satu kejohanan golf remaja yang dijangka menjadi platform penting dalam pembangunan bakat muda negara.
Siri kejohanan itu akan membabitkan tiga pusingan kelayakan sebelum berakhir dengan Grand Final yang dijadual berlangsung di beberapa lapangan golf terpilih di seluruh negara.
Pengarah Penglibatan Kerajaan dan Industri F&N Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee berkata, kerjasama tersebut terjalin berasaskan visi bersama antara 100PLUS dan MGA dalam usaha membangunkan pemain muda serta melahirkan lebih ramai juara pada masa depan.
“Kami berkongsi visi yang sama dengan MGA dalam membangunkan pemain muda dan melahirkan juara. Ini membawa kepada penganjuran 100PLUS MGA NJDP Junior Series bermula tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran rasmi di The Mines Golf Club, hari ini.
Turut hadir Presiden MGA, Mohd Anwar Mohd Nor, Naib Presiden MGA, Dato’ Merina Gan, Bendahari Kehormat MGA, Chow Chee Keong dan Pengerusi MGA NJDP, Fauzi Mesran.
Menurut Norazrin, 100PLUS percaya kepada kepentingan program pembangunan remaja dan berharap pemain golf muda di seluruh negara merebut peluang untuk menyertai siri baharu tersebut.
Kejohanan yang terbuka kepada pemain bawah 18 tahun itu akan berlangsung di Kelab Golf Kinrara dari 20 hingga 23 Julai, Permaipura Golf and Country Club (10 hingga 13 Ogos), A’Famosa Golf Resort (7 hingga 10 September) dan The Mines Resort & Golf Club (6 hingga 9 Oktober).
Sementara itu, Mohd Anwar berkata, MGA menghargai sokongan berterusan 100PLUS terhadap pembangunan sukan negara khususnya golf remaja.
“100PLUS MGA NJDP Junior Series akan menjadi antara platform pertandingan paling penting untuk pemain golf remaja di negara ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan siri tersebut akan menjadi medan kelayakan ke Kejohanan Terbuka Antarabangsa Remaja Malaysia yang dijadual berlangsung pada November depan.
Menurutnya, sebanyak 30 tempat akan ditawarkan kepada pemain berdasarkan prestasi mereka sepanjang 100PLUS MGA NJDP Junior Series.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta akan dibekalkan minuman 100PLUS dan air mineral F&N Ice Mountain bagi memastikan tahap hidrasi yang optimum. – DETIK MALAYSIA