KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan disiplin terhadap tujuh pemain skuad kebangsaan Thailand susulan insiden yang berlaku ketika perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur 2026 pada 24 Mei lalu.
ISTAF dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Disiplinnya meneliti rayuan serta representasi yang dikemukakan oleh Persatuan Takraw Thailand (TAT) yang diketuai Presidennya, Thana Chaiprasit dan Setiausaha Agungnya, Dr. Srihasak Arirachakaran.
Menurut ISTAF, tujuh pemain daripada Regu Pertama dan Regu Kedua itu didapati mempunyai penglibatan yang terhad dalam insiden yang membawa kepada perlawanan akhir tersebut ditamatkan.
Pemain terbabit ialah kapten Regu Pertama, Marukin Phanmakon, Jirasak Pakbuangoen, Porhthep Tinbangbon dan Kritsada Sunvung, manakala Regu Kedua membabitkan Wuttinun Kamsanor, Tanaphon Sapyen serta Kritsanapong Nontakote.
Sebagai ganti kepada prosiding disiplin, kesemua pemain berkenaan akan diberikan amaran rasmi dan dikehendaki menandatangani aku janji bagi mengesahkan komitmen mereka terhadap semangat kesukanan, penghormatan kepada pegawai perlawanan serta pematuhan kepada Perlembagaan, Peraturan dan Undang-Undang ISTAF.
“ISTAF mengiktiraf bahawa atlet daripada Regu Pertama dan Regu Kedua telah menamatkan perlawanan masing-masing dan penglibatan mereka dalam insiden berkenaan adalah terhad.
“Justeru, adalah adil dan wajar mereka yang tidak terlibat secara langsung tidak diseret ke dalam prosiding disiplin utama,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, ISTAF mengesahkan prosiding disiplin terhadap lima pemain Regu Ketiga Thailand bersama jurulatih serta pengurus pasukan akan diteruskan mengikut Perlembagaan dan Peraturan Disiplin badan induk tersebut.
Dalam masa sama, ISTAF menegaskan insiden tersebut tidak seharusnya menjejaskan reputasi Thailand sebagai antara kuasa besar sepak takraw dunia yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sukan itu di peringkat antarabangsa selama beberapa dekad.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Thailand merupakan sebuah negara besar dalam arena sepak takraw dan satu insiden malang tidak seharusnya menentukan masa depan negara yang banyak berjasa kepada sukan berkenaan.
“ISTAF percaya kepada disiplin apabila perlu, namun kami juga percaya kepada pendidikan, pemulihan dan peluang kedua. Kami yakin Thailand akan bangkit lebih kuat daripada pengalaman ini dan terus memberi inspirasi kepada dunia menerusi semangat, kecemerlangan dan komitmen mereka terhadap sepak takraw,” katanya. – DETIK MALAYSIA