KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 perlu memastikan peningkatan pendapatan rakyat seiring dengan kos sara hidup bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan asas tanpa terus dibebani tekanan kewangan.
Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kejayaan belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan jumlah bantuan diumumkan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, kemampuan rakyat memenuhi keperluan harian serta jumlah pendapatan yang masih berbaki selepas menampung perbelanjaan asas perlu menjadi ukuran utama.
Menurutnya, peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mampu membantu golongan memerlukan, namun langkah itu perlu disokong usaha menangani kenaikan harga makanan, sewa rumah dan pengangkutan.
“Bantuan tunai atau kredit pembelian barangan asas boleh melegakan tekanan untuk sementara waktu, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah jika kos makanan, sewa rumah, pengangkutan dan perkhidmatan penting terus meningkat lebih cepat daripada pendapatan,” katanya.
Mengulas isu gaji minimum, beliau berkata, kenaikan gaji perlu disertai strategi peningkatan produktiviti serta penguatkuasaan berkesan supaya pekerja benar-benar menikmati manfaatnya.
Katanya, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada golongan M40 yang berdepan komitmen kewangan seperti pinjaman perumahan, ansuran kenderaan, pendidikan anak-anak dan penjagaan ibu bapa.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuh pemantauan rantaian bekalan, membendung pencatutan serta meningkatkan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Beliau turut mencadangkan supaya keberkesanan Belanjawan 2027 dinilai secara berkala berdasarkan pendapatan boleh guna, kemampuan memiliki rumah, simpanan kecemasan dan beban hutang isi rumah.
“Pendapatan menentukan kemampuan rakyat memperoleh wang, manakala kuasa beli menentukan sejauh mana wang itu mampu memenuhi keperluan hidup. Kedua-duanya mesti diseimbangkan melalui dasar ekonomi yang adil, cekap dan berorientasikan kesejahteraan rakyat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
