SHAH ALAM – Politik kepartian tidak seharusnya dijadikan alat untuk mempengaruhi institusi Raja kerana tindakan itu boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kenegaraan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, institusi Raja mempunyai peranan tersendiri yang perlu dihormati serta dilaksanakan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.
Menurut Mohd Azmi Abdul Hamid, institusi Raja-Raja Melayu bukan milik mana-mana parti politik dan tidak seharusnya diperalatkan untuk mengukuhkan kedudukan parti, menyerang lawan atau meraih sokongan rakyat.
Beliau berkata, persaingan politik perlu berlangsung berdasarkan dasar, prestasi pentadbiran dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya dengan memanipulasi institusi diraja.
Katanya, Perkara 38, 40, 43 dan 181 Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka penting berkaitan kedudukan serta fungsi institusi Raja dan hubungan dengan kerajaan.
“Mempertahankan institusi Raja menuntut dua komitmen serentak: menghormati kedudukan dan peranan Raja sebagaimana ditetapkan oleh Perlembagaan, serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada manipulasi politik oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Beliau turut menyeru pemimpin politik supaya tidak menjadikan institusi Raja sebagai bahan kempen, alat propaganda atau senjata untuk melemahkan pihak lawan.
Media dan pengguna media sosial juga diingatkan supaya mengelakkan penyebaran petikan tidak lengkap, dakwaan tanpa bukti serta tafsiran yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Raja bukan alat parti. Perlembagaan bukan bahan tawar-menawar politik. Amanah kenegaraan tidak boleh dikorbankan demi kemenangan sementara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
