SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak kerajaan Azerbaijan memberikan penjelasan rasmi berhubung sekatan pemakaian hijab oleh pelajar perempuan Islam di sekolah negara itu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sehingga semalam, pihaknya belum memperoleh pengesahan rasmi bahawa sekatan berkenaan telah ditarik balik di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan Azerbaijan perlu menjelaskan kedudukan undang-undang semasa serta memastikan hak pelajar dan tenaga pendidik Muslim dilindungi.
Menurutnya, kebebasan beragama, kesamarataan di sisi undang-undang dan hak mendapat pendidikan perlu dihormati tanpa diskriminasi berdasarkan kepercayaan agama.
“Tiada pelajar perempuan sepatutnya berhadapan dengan dilema antara mematuhi tuntutan agama yang diyakininya dengan meneruskan persekolahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan lima tuntutan termasuk penjelasan rasmi, penarikan balik sekatan bersifat diskriminatif serta jaminan akses pendidikan tanpa gangguan.
MAPIM turut menuntut perlindungan terhadap guru Muslimah daripada tindakan disiplin atau kesan buruk terhadap pekerjaan mereka semata-mata kerana pakaian keagamaan.
Selain itu, pihak berkuasa Azerbaijan digesa menyediakan mekanisme aduan yang telus bagi membolehkan pelajar, ibu bapa dan guru mencabar keputusan yang didakwa bersifat diskriminatif.
MAPIM turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mekanisme hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi masyarakat sivil Islam mengadakan dialog konstruktif dengan Azerbaijan bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan. – DETIK MALAYSIA
