KUALA TERENGGANU – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (HTK) menerajui penganjuran program ASEAN Youth Forum on Tourism 2026 menerusi kerjasama strategik bersama Muzium Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Southeast Malaysia Education Mobility (SEAAM), REAL EDU Consultant Indonesia dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Zon Timur.
Mesyuarat khas bagi pelaksanaan program itu diadakan di Muzium Terengganu, di sini, dengan penyertaan rakan strategik yang turut menyokong penganjurannya.
Antara rakan strategik yang hadir ialah Taman Tamadun Islam (TTI), PPIM Terengganu, Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Perhubungan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Terengganu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang dan TKHA.
Forum itu menghimpunkan peserta dari Malaysia dan beberapa negara ASEAN, termasuk 10 mahasiswa dari Makassar, tiga dari Jawa Timur, seorang dari Jakarta, tiga dari Thailand dan dua dari Brunei.
Turut menyertai program itu ialah 10 peserta dari Universiti Koperasi dan Keusahawanan Malaysia (UKKM), lima dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), 10 dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun serta lapan pelajar prauniversiti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.
Barisan fasilitator terdiri daripada pensyarah Institut Pariwisata Trisakti Jakarta, pensyarah UKKM, dua pensyarah UMT serta bekas Pengarah Muzium Terengganu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Ustaz Khazan Che Mat, manakala majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Muzium Terengganu. – DETIK MALAYSIA
