KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan bahawa pertuduhan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bukan bermaksud beliau telah disabitkan bersalah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya proses perundangan serta hak kedua-dua pengadu untuk mendapatkan keadilan.
Menurutnya, setiap individu yang dituduh berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya mengikut undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan prosiding terhadap Mohd Shuhaily yang menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sepang, semalam.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000, manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November 2026.
Dalam pada itu, MCW turut menghargai komitmen Mohd Shuhaily dalam memperkukuh disiplin penguatkuasaan, membanteras kegiatan penyeludupan serta menangani kelemahan integriti di pintu masuk negara.
Menurut kenyataan itu, usaha membersihkan sempadan daripada rasuah dan kegiatan sindiket bukan tugas mudah, sebaliknya menuntut keberanian, ketegasan serta kesungguhan luar biasa.
Bagaimanapun, MCW menegaskan setiap tindakan penguatkuasaan perlu sentiasa berlandaskan undang-undang, profesionalisme dan penghormatan terhadap hak individu.
MCW turut berharap prosiding berkenaan berlangsung secara bebas, adil dan telus tanpa tekanan luar atau perbicaraan melalui media sosial.
Sebarang dakwaan berkaitan gangguan operasi, penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau campur tangan pihak berkepentingan juga wajar diteliti secara objektif berdasarkan bukti.
Pada masa sama, MCW mendoakan agar Mohd Shuhaily terus tabah dan tenang dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Ujian terhadap seorang pemimpin tidak semestinya memadamkan segala jasa dan sumbangannya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MCW menyeru kerajaan memastikan agenda reformasi AKPS diteruskan tanpa kompromi.
“Keadilan mesti ditegakkan. Integriti mesti dipertahankan. Rasuah mesti diperangi,” menurutnya. – DETIK MALAYSIA
