ISKANDAR PUTERI – Port FC dijangka melakukan penggiliran pemain menjelang aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.
Ketua jurulatihnya, Božidar Bandović berkata, pasukan itu tidak dapat menurunkan dua pemain import, Kaka Mendes dan Matheus Lins, namun situasi berkenaan tidak menjejaskan persiapan mereka.
Menurutnya, penggiliran pemain akan dilakukan bagi memastikan kesebelasan terbaik diturunkan untuk berdepan juara Liga Super Malaysia itu.
“Bagi perlawanan menentang JDT, kami kehilangan dua pemain iaitu Kaka Mendes dan Matheus Lins, tetapi situasi itu tidak menjejaskan persiapan kerana saya akan melakukan penggiliran pemain dan memilih mereka yang terbaik untuk diturunkan,” katanya.
Port FC hadir ke perlawanan itu dengan keyakinan selepas membelasah Rayong FC 4-1 dalam aksi Liga Thailand 1, namun Bandović mengakui jadual padat serta perjalanan jauh sepanjang bulan lalu memberi cabaran kepada pasukannya.
Katanya, pemain Port FC perlu bersedia menghadapi JDT yang memiliki kemahiran individu serta struktur pasukan yang mantap.
“Tidak dinafikan kami terpaksa mengharungi jadual padat dalam Liga Thailand selain perjalanan yang agak jauh sepanjang bulan lalu.
“Tambahan pula, kami akan berdepan pemain JDT yang mempunyai kemahiran individu serta struktur pasukan yang kukuh,” katanya.
Bandović berkata, anak buahnya perlu memberikan segala-galanya sepanjang 90 minit permainan bagi memastikan mereka mampu memberikan saingan sengit.
“Apa yang kami mahu lakukan ketika menentang JDT adalah memberikan segala-galanya dari minit pertama hingga minit terakhir.
“Ini tahun pertama kami beraksi dalam ACLE dan kami mahu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Port FC, Manuel Bihr menganggap penyerang JDT, Bergson da Silva sebagai pemain yang perlu diberi perhatian khusus oleh benteng pertahanan pasukannya.
Menurutnya, kemampuan Bergson boleh mencetuskan masalah kepada pertahanan lawan sekiranya tidak dikawal dengan baik.
“Mungkin pemain individu paling terkenal ialah Bergson. Dia juga pemain Malaysia.
“JDT berada di tangga teratas Liga Super Malaysia dan sudah menjaringkan 28 gol, sekali gus membuktikan jentera serangan mereka sangat tajam,” katanya.
Bergson berada dalam prestasi terbaik apabila meledak hatrik ketika membantu Malaysia menentang Singapura dalam saingan Piala ASEAN FIFA sebelum meneruskan tugas selaku penggempur utama JDT.
JDT kini menghuni tangga kelima Zon Timur selepas mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.
Skuad Harimau Selatan membuka kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang kelab Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada 15 September lalu sebelum menewaskan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 di tempat lawan pada 13 Oktober.
Marcos Guilherme muncul wira apabila meledak kedua-dua gol pada separuh masa kedua dalam kemenangan ke atas Pohang Steelers.
Mengikut format liga ACLE, lapan pasukan terbaik daripada 12 pasukan dalam setiap zon akan layak ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Port FC
