JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan setiap perlawanan dalam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) ibarat final yang perlu diharungi dengan penuh kesungguhan.
Beliau berkata, JDT perlu mengekalkan momentum positif menjelang aksi menentang kelab Thailand, Port FC yang disifatkannya memiliki kualiti tersendiri meskipun berdepan keputusan kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan terdahulu.
“Perkara paling penting ialah kami perlu mengekalkan momentum positif. Namun, kami perlu memahami bahawa setiap perlawanan dalam ACL Elite ibarat final.
“Lawan kami kini berada di kedudukan teratas Liga Thailand dan ia bukan tugas mudah,” katanya.
Muñoz turut menolak tanggapan bahawa Port FC mudah ditewaskan hanya kerana pasukan itu belum meraih mata dalam aksi terdahulu.
Menurutnya, kekalahan Port FC kepada dua kelab Jepun, Vissel Kobe dan Kashiwa Reysol tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukan kendalian Božidar Bandović itu.
“Mereka berdepan kelab besar Jepun yang bersaing pada tahap tertinggi,” katanya.
Mengulas persiapan JDT, pengendali dari Sepanyol itu berkata, pasukannya mempunyai beberapa pendekatan untuk membina corak permainan berkesan bagi menghadapi cabaran Port FC.
Beliau menjangkakan lawan akan menggunakan pendekatan bertahan secara rendah atau low block, namun corak permainan boleh berubah sekiranya JDT berjaya menjaringkan gol awal.
“Kami mempunyai pelbagai cara untuk membina struktur permainan yang berkesan. Kami menjangkakan Port FC akan bermain secara low block, tetapi intensiti perlawanan boleh berubah jika kami menjaringkan gol awal.
“Pemain JDT bersedia untuk beraksi sepanjang 90 minit,” katanya.
Dalam pada itu, JDT dijangka tidak dapat menurunkan pertahanan tengah, Eddy Israfilov yang perlu menjalani perlawanan kedua daripada penggantungan dua aksi susulan kad merah ketika menentang Buriram.
Shane Lowry, Brad Tapp dan Feroz Baharudin antara pilihan yang boleh mengisi kekosongan tersebut.
Port FC pula tidak dapat menurunkan Kaka Mendes dan Matheus Lins, menurut kenyataan jurulatihnya, Bandović.
JDT hadir dengan keyakinan selepas menewaskan DPMM FC 2-0 pada aksi pertama separuh akhir Piala FA, 23 Oktober lalu.
Penyerang, Bergson da Silva membuka jaringan dalam perlawanan itu dan setakat ini sudah meledak 10 gol serta menghasilkan tiga bantuan jaringan dalam 11 penampilan bagi semua pertandingan musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
