KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu perlu berasaskan merit, integriti serta pengalaman operasi dan bukannya semata-mata kekananan pangkat.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, calon yang dipilih juga perlu mempunyai keupayaan melaksanakan reformasi institusi bagi memastikan agensi itu bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa pengganti Ketua Pengarah AKPS akan dilantik dalam kalangan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, MCW menghormati pertimbangan kerajaan berhubung perkara itu, namun calon yang dipilih perlu memenuhi kriteria tertentu bagi menggalas tanggungjawab mengetuai agensi strategik berkenaan.
“AKPS merupakan agensi strategik yang berdepan risiko penyeludupan, rasuah rentas sempadan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan penglibatan sindiket jenayah terancang.
“Oleh itu, calon yang dipertimbangkan sewajarnya mempunyai rekod integriti yang meyakinkan, pengalaman penguatkuasaan dan risikan serta keberanian mengambil tindakan terhadap pegawai sendiri sekiranya terdapat bukti salah laku,” katanya dalam kenyataan.
Jais berkata, calon berkenaan juga perlu mempunyai keupayaan memimpin organisasi pelbagai agensi dengan memahami fungsi imigresen, kastam, keselamatan dan penguatkuasaan sempadan.
Selain itu, komitmen terhadap akauntabiliti termasuk pengawasan bebas, perlindungan pemberi maklumat dan penggunaan teknologi bagi mengurangkan ruang rasuah turut perlu diberi perhatian.
Mengulas cadangan menamakan individu tertentu bagi jawatan itu, beliau berpandangan kerajaan wajar mengemukakan calon berdasarkan kelayakan serta rekod perkhidmatan yang boleh dinilai secara objektif.
“MCW juga mencadangkan supaya calon yang dikenal pasti menjalani tapisan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penilaian kesesuaian kepimpinan sebelum pelantikan dimuktamadkan.
“AKPS tidak boleh menjadi tempat penempatan biasa pegawai kanan. Ia mesti dipimpin individu yang mampu membina budaya integriti dan memastikan pintu sempadan negara tidak dikompromi oleh rasuah atau kepentingan sindiket,” katanya. – DETIK MALAYSIA
