PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan pengagihan bakul makanan serta wang tunai sempena Deepavali di Kompleks JAPERUN Rim ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum penjelasan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa premis berkenaan sememangnya digunakan oleh Majlis Perbandaran Jasin bagi tujuan penyaluran bantuan kebajikan.
Menurutnya, kehadiran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Khaidhirah Abu Zahar di lokasi itu pula dikatakan berkaitan lawatan ke kawasan pengundian pos.
“MCW menghormati penjelasan tersebut serta mengalu-alukan kesediaan Ketua Menteri menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.
“Namun begitu, penjelasan pentadbiran tidak seharusnya menggantikan proses siasatan undang-undang. Begitu juga, dakwaan pihak lawan politik tidak boleh secara automatik dianggap sebagai bukti kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bantuan kebajikan kepada rakyat termasuk masyarakat yang menyambut Deepavali merupakan tanggungjawab kerajaan yang wajar diteruskan.
Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu bebas daripada sebarang unsur mempengaruhi pengundi atau memberikan kelebihan politik tidak wajar kepada calon tertentu.
Sehubungan itu, MCW menggesa pihak berkuasa meneliti sumber peruntukan dan kelulusan program, tarikh perancangan serta kaedah pemilihan penerima bantuan.
Selain itu, siasatan perlu menentukan peranan sebenar calon dalam aktiviti pengagihan serta sama ada terdapat unsur mempengaruhi pengundi melalui pemberian wang atau barangan.
“Pihak berkuasa juga perlu meneliti sama ada premis, kakitangan atau kemudahan kerajaan digunakan untuk kepentingan kempen politik,” katanya.
Dalam pada itu, MCW mengambil maklum polis telah membuka siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Jais berkata, siasatan perlu dilaksanakan segera, secara profesional dan tanpa campur tangan politik, selain memberi peluang adil kepada semua pihak untuk mengemukakan keterangan.
MCW turut mencadangkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menetapkan garis panduan jelas bagi pengagihan bantuan kebajikan sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk memisahkan urusan pentadbiran kerajaan daripada aktiviti kempen calon.
“Bantuan rakyat adalah hak rakyat, bukan modal politik mana-mana calon. Integriti pilihan raya mesti dipertahankan tanpa kompromi,” katanya. – DETIK MALAYSIA
