PETALING JAYA – Rakyat Malaysia diseru meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan ancaman keselamatan global, bencana alam dan gangguan luar jangka yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata, peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesiapsiagaan keselamatan negara ketika berucap di Dewan Rakyat pada 3 November lalu perlu diberikan perhatian serius oleh seluruh lapisan masyarakat.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendedahan mengenai kemungkinan Malaysia terdedah kepada ancaman keselamatan termasuk serangan siber dan ancaman hibrid membuktikan perubahan landskap keselamatan antarabangsa turut memberi kesan langsung kepada negara.
Menurutnya, keputusan kerajaan mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti tahap kesiapsiagaan, penilaian risikan dan mekanisme pengurusan krisis sedia ada menunjukkan perkembangan itu perlu ditangani secara serius.
“Rakyat Malaysia perlu memahami implikasi amaran ini dan memberikan respons dengan penuh kewaspadaan, tanggungjawab serta kesiapsiagaan.
“Kita tidak boleh menganggap ancaman yang berlaku di luar negara tidak akan memberi kesan kepada kepentingan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara perkembangan yang perlu diberikan perhatian termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat, perkembangan keselamatan di Yaman dan Laut Merah serta ancaman serangan siber terhadap infrastruktur kritikal.
Katanya, gangguan perdagangan antarabangsa, logistik dan rantaian bekalan penting juga berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, MAPIM berpandangan kesiapsiagaan negara tidak seharusnya tertumpu kepada ancaman keselamatan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi bencana alam dan kecemasan persekitaran.
“Malaysia berdepan risiko banjir besar, kemarau berpanjangan, kekurangan bekalan air, cuaca panas melampau, tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan.
“Krisis besar juga boleh berlaku akibat beberapa faktor yang saling berkaitan, termasuk konflik geopolitik yang mengganggu bekalan makanan dan bahan api serta cuaca ekstrem yang menjejaskan pertanian, pengangkutan dan infrastruktur awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap keluarga menyediakan bekalan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, kit pertolongan cemas, lampu suluh, bateri, bank kuasa dan dokumen penting.
Rakyat juga disaran menyediakan pelan komunikasi keluarga, memantau pengumuman rasmi agensi berkaitan serta mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih dan khabar angin.
“Isi rumah disarankan mempertimbangkan penyediaan bekalan keperluan asas bagi tempoh awal kecemasan selama 72 jam mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing.
“Ini langkah berjaga-jaga dan bukannya seruan untuk melakukan pembelian panik atau menyimpan stok secara berlebihan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memperkukuh pendekatan menyeluruh melibatkan agensi keselamatan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah perlindungan infrastruktur kritikal, keselamatan makanan dan tenaga, sistem amaran awal bencana, komunikasi awam serta kesiapsiagaan komuniti.
MAPIM turut mencadangkan kerajaan membangunkan Kerangka Kesiapsiagaan dan Daya Tahan Nasional Malaysia 2027-2030 bagi menyelaras tindakan menghadapi ancaman geopolitik, bencana alam, ketidakstabilan ekonomi, serangan siber dan kecemasan kesihatan awam.
“Keselamatan negara tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada agensi keselamatan kerana kesiapsiagaan masyarakat sendiri merupakan komponen penting dalam membina daya tahan nasional.
“Kita tidak harus menunggu sehingga krisis besar melanda negara sebelum menyedari betapa pentingnya persediaan awal,” katanya.
Beliau berkata, MAPIM bersedia memainkan peranan melalui rangkaian kemanusiaan dan program jangkauan komuniti bagi membantu menyebarkan maklumat sahih, menggerakkan sukarelawan serta membantu golongan rentan ketika kecemasan.
“Rakyat perlu peka terhadap perkembangan global, bersedia menghadapi gangguan luar jangka, melindungi keluarga, memperkukuh komuniti dan bersama-sama menjaga keselamatan negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
