KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak terlalu bimbang berdepan kemungkinan kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen minggu ini.
Beliau berkata, pihak kejurulatihan sudah menyediakan senarai pemain simpanan sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan selepas beberapa pemain beraksi dalam aksi separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu.
Menurutnya, keputusan akhir mengenai status pemain masih menunggu pengesahan daripada doktor kelab masing-masing.
“Kami sudah mempunyai pemain dalam senarai menunggu yang bersedia dipanggil sekiranya berlaku kecederaan.
“Sebagai jurulatih, kami perlu sentiasa bersedia dengan beberapa pilihan. Menjadi tanggungjawab kami memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi setiap perlawanan,” katanya.
Dalam masa sama, ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjadi perhatian apabila skuad kebangsaan kali ini tidak diperkuatkan tonggak kelab berkenaan.
Keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada JDT memburu mata ranking Persatuan Anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau MA.
Mengulas perkara itu, Tan mengakui beliau sudah tentu mahu mendapatkan khidmat pemain terbaik, namun memahami keperluan kelab berkenaan.
“Kami mempunyai perasaan bercampur-baur, tetapi perlu mencari situasi menang-menang.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahukan pemain terbaik kerana mereka mampu memberikan kualiti dan impak berbeza kepada pasukan. Namun, JDT memerlukan mata MA dan saya menyerahkan keputusan itu kepada FAM,” katanya.
Bagaimanapun, Tan melihat aksi persahabatan kali ini sebagai peluang terbaik untuk menguji kemampuan pemain muda serta mereka yang jarang mendapat peluang menyarung jersi kebangsaan.
Katanya, Harimau Malaya perlu membina kumpulan pemain lebih besar sebagai persediaan menghadapi cabaran antarabangsa pada masa depan.
Mengulas pertemuan menentang China di Zhaoqing pada 14 November ini, Tan mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan meskipun pasukan itu tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut.
“Kami tahu kekuatan China dan tiada pasukan atau jurulatih yang mahu mengalami kekalahan empat perlawanan berturut-turut.
“Kami perlu menghormati persiapan mereka,” katanya.
Selepas itu, Harimau Malaya dijadual menentang Yemen pada 17 November dengan Tan turut mengingatkan anak buahnya supaya bersedia menghadapi cabaran pasukan berkenaan yang menunjukkan prestasi baik dalam saingan Piala Teluk.
Dua aksi persahabatan itu penting buat Harimau Malaya untuk mengekalkan momentum menjelang persiapan menghadapi Piala Asia dan kempen kelayakan Piala Dunia tahun depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
