KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan menormalisasikan fitnah, tuduhan tanpa bukti dan penyebaran maklumat mengelirukan dalam masyarakat.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan itu bukan sekadar mencetuskan pertelingkahan, malah boleh menjejaskan integriti masyarakat serta keharmonian negara.
Menurutnya, apabila pembohongan dianggap perkara biasa, penghinaan dijadikan strategi politik dan tuduhan dipercayai tanpa bukti, masyarakat berdepan kemerosotan integriti dalam kehidupan awam.
“Normalisasi fitnah berlaku apabila masyarakat mula menganggap pembohongan sebagai perkara remeh, tuduhan sebagai bukti dan penghinaan sebagai keberanian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dikaitkan dengan satu parti politik, pemimpin atau kelompok tertentu, sebaliknya memerlukan penilaian menyeluruh terhadap budaya komunikasi ahli politik, pemimpin masyarakat, tokoh agama, pengamal media dan pengguna media sosial.
Katanya, kebebasan mengkritik dalam sistem demokrasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan palsu atau membentuk persepsi melalui maklumat mengelirukan.
Jelasnya, pemimpin politik perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan kerana pengaruh mereka boleh menyebabkan penyokong mempercayai sesuatu tuduhan tanpa meneliti asas buktinya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan pertikaian yang belum diputuskan mahkamah sebagai alasan untuk menghukum seseorang menerusi persepsi awam.
Beliau berkata, sesuatu dakwaan perlu dibezakan daripada fakta yang sudah dibuktikan, manakala saman yang difailkan tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya fitnah.
Mengulas penyebaran maklumat di media sosial, beliau berkata, kandungan yang mencetuskan kemarahan atau kebencian sering mendapat perhatian pantas sebelum semakan fakta dilakukan.
Sehubungan itu, pengguna media sosial disaran menyemak sumber asal, tarikh, konteks dan pengesahan daripada sumber dipercayai sebelum berkongsi sesuatu maklumat.
“Populariti bukan bukti kebenaran. Jumlah tontonan bukan ukuran ketepatan. Keyakinan penyampai juga tidak menggantikan keperluan kepada bukti,” katanya.
Tambahnya, tokoh agama turut mempunyai tanggungjawab besar memastikan mimbar masjid, kuliah dan forum keagamaan tidak digunakan untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas atau mengukuhkan permusuhan.
Beliau berkata, prinsip tabayyun seperti digariskan dalam Surah al-Hujurat, ayat 6, perlu dijadikan panduan dalam menerima dan menyampaikan berita bagi mengelakkan penganiayaan serta kerosakan hubungan masyarakat.
Mohd Azmi turut memberi amaran bahawa penyebaran fitnah yang menyasarkan kelompok tertentu, termasuk melalui manipulasi identiti kaum dan agama, boleh memperdalam polarisasi serta menghakis kepercayaan terhadap institusi.
Bagaimanapun, katanya, kritikan keras dan perbezaan politik tidak seharusnya disamakan dengan ancaman keselamatan negara kerana demokrasi memerlukan ruang untuk mempersoalkan kuasa dan mendedahkan salah laku.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa semua pihak memperkukuh budaya komunikasi berasaskan fakta, meningkatkan literasi media dan memastikan tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu dilaksanakan secara telus serta adil.
Beliau menegaskan, usaha memelihara maruah bangsa dan keharmonian negara memerlukan komitmen bersama untuk menolak fitnah, mengukuhkan integriti serta mengembalikan etika dalam wacana awam.
“Jangan biarkan fitnah menjadi budaya. Jangan biarkan kebencian menggantikan hujah. Jangan biarkan pembohongan mengatasi kebenaran,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI
