BANDAR SERI BEGAWAN – Johor Darul Ta’zim (JDT) meletakkan sebelah kaki ke pentas final Piala FA selepas menewaskan DPMM FC 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.
Kemenangan selesa itu menyaksikan skuad Harimau Selatan membawa bekalan dua gol menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 November ini.
JDT hadir dengan momentum positif selepas membenam Terengganu FC 3-0 dalam aksi sebelum ini, manakala DPMM berhasrat mencipta kejutan selepas menewaskan Kuching United 3-2 dalam saingan Liga Super.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz membuat keputusan merehatkan tonggak sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi, dengan Dani Bolt diberi peluang membuat penampilan kedua bersama kelab itu di posisi pertahanan kiri.
Sementara itu, pengendali DPMM, Jamie McAllister mempertaruhkan Danial Asri dan Samuel Somerville dalam kesebelasan utama.
JDT bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila penyerang naturalisasi, Bergson da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-21.
Bergson bijak menghidu peluang susulan kelekaan benteng pertahanan DPMM sebelum menyudahkan peluang untuk meletakkan pasukan pelawat di depan.
Kelebihan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama sebelum Muñoz memasukkan Arif Aiman dan Jairo da Silva pada separuh masa kedua bagi memperkukuh jentera serangan.
Pertukaran itu membuahkan hasil apabila Eddy Israfilov menanduk masuk sepakan penjuru yang disempurnakan Jairo pada minit ke-71 untuk menggandakan kelebihan JDT.
Jaringan itu menyukarkan usaha DPMM untuk bangkit sebelum perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-0 memihak kepada skuad Harimau Selatan.
JDT kini memiliki kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik di laman sendiri pada 8 November ini.
Bagaimanapun, JDT terlebih dahulu akan mengalihkan perhatian kepada saingan Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) menentang Port FC pada 27 Oktober, manakala DPMM dijadual bertemu Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super pada 30 Oktober. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
