KUALA LUMPUR – Penyerang Harimau Malaya, Safawi Rasid bersedia memikul tanggungjawab lebih besar dalam jentera serangan negara bagi mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), termasuk Arif Aiman Hanapi.
Safawi yang kini bersama Kuching City FC hadir ke kem latihan skuad kebangsaan dengan keyakinan tinggi selepas membantu pasukannya melakar sejarah mara ke final Piala FA buat kali pertama hujung minggu lalu.
Pemain berusia 29 tahun itu turut menjadi watak penting apabila menyempurnakan sepakan penalti yang memastikan Kuching City menempah tiket ke pentas final.
Menurutnya, beliau mahu membawa prestasi cemerlang bersama kelab ke peringkat antarabangsa, selain memberikan sumbangan terbaik dalam dua aksi persahabatan Tier 1 menentang China dan Yemen.
“Pertama sekali, saya mahu memberikan kredit sepenuhnya kepada rakan sepasukan di Kuching. Saya mahu membawa prestasi bersama kelab ke dalam skuad kebangsaan.
“Kami mempunyai pemain berkualiti dalam pasukan ini dan semua orang bersedia menghadapi dua perlawanan seterusnya di China,” katanya.
Mengulas ketiadaan pemain JDT dalam skuad kebangsaan, Safawi menganggap situasi itu sebagai peluang terbaik buat pemain yang dipanggil untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Katanya, Arif mempunyai kelebihan tersendiri, manakala setiap pemain juga memiliki kualiti berbeza untuk disumbangkan kepada pasukan.
“JDT adalah pasukan yang sememangnya diperlukan dalam skuad kebangsaan kerana mereka banyak menyumbang.
“Namun, ketika ini peluang besar diberikan kepada pemain yang dipanggil untuk tampil membuktikan kualiti masing-masing.
“Arif Aiman mempunyai kelebihan tersendiri, sama seperti pemain lain. Dengan ketiadaan Arif, saya bersedia beraksi di mana-mana posisi serangan sama ada sayap kanan, kiri atau sebagai pemain nombor 10. Posisi bukan masalah buat saya,” katanya.
Safawi turut mengakui perubahan mentaliti menjadi antara faktor penting kebangkitannya selepas melalui fasa mencabar dalam karier termasuk beraksi secara pinjaman bersama Portimonense di Portugal dan Ratchaburi di Thailand.
Beliau kemudian kembali memperkukuhkan prestasi bersama Terengganu sebelum menyertai Kuching City.
“Sebagai pemain bola sepak, prestasi memang ada turun naik. Hari ini mungkin tidak menjaringkan gol, tetapi esok mungkin berjaya menemui sasaran.
“Saya hanya perlu menetapkan semula pemikiran, kekal fokus dan terus berusaha,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang China di Stadium Pusat Sukan Daerah Baharu Zhaoqing, Sabtu ini, Safawi mengakui tuan rumah memiliki kelebihan dari segi fizikal dan permainan bola tinggi.
Bagaimanapun, beliau percaya Harimau Malaya mampu memberikan tentangan menerusi pendekatan taktikal serta permainan lebih bijak.
“China pasukan yang sangat kuat dari segi fizikal dan banyak menggunakan bola tinggi serta perebutan fizikal.
“Kami perlu melaksanakan perancangan taktikal ketua jurulatih dengan teliti. Walaupun ada antara kami bertubuh lebih kecil, kami perlu bermain dengan bijak untuk mengatasi mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Safawi mengakui kejayaan Kuching City melangkah ke final Piala FA turut menyuntik semangat baharu buat dirinya untuk kembali memburu kejuaraan.
Kuching City bakal berdepan JDT pada aksi final yang dijadual berlangsung Januari 2027 di Stadium Sultan Ibrahim. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
