Abdul Halim Kader
KUALA LUMPUR – Datuk Abdul Halim Kader kekal sebagai Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas menang tanpa bertanding bagi penggal baharu susulan hanya satu pencalonan diterima untuk jawatan berkenaan.
Sekretariat ASTAF yang bermesyuarat di Bangkok, Thailand, hari ini mengesahkan perkara itu selepas tempoh penamaan calon bagi Mesyuarat Agung Pemilihan ASTAF berakhir pada pukul 5 petang waktu Malaysia.
Turut menang tanpa bertanding ialah dua calon bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohamad Sumali Reduan dari Malaysia dan Dr. Srihassak Arrirachakaran yang juga Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand.
Bagaimanapun, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif akan diteruskan berikutan jumlah pencalonan melebihi kerusi yang ditawarkan.
Abdul Halim sebelum ini pernah menyatakan pada pemilihan 2021 bahawa penggal berkenaan merupakan yang terakhir buat dirinya.
Namun, sokongan berterusan daripada negara anggota mendorong beliau menerima pencalonan semula bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan sepak takraw di peringkat antarabangsa.
Gabungan Abdul Halim dan Sumali dijangka memperkukuhkan kepimpinan ASTAF, khususnya dalam mempererat hubungan antara negara anggota, memperluas pembangunan atlet serta meningkatkan martabat sukan itu di pentas antarabangsa.
Abdul Halim berkata, antara keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuhkan hubungan strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Usaha itu penting bagi mempercepat proses memenuhi keperluan pengiktirafan serta membuka laluan kepada sepak takraw untuk dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.
“Perjuangan kita belum selesai. Impian saya adalah melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik.
“Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berintegriti serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat ASTAF yakin kesinambungan kepimpinan berkenaan mampu memperkukuhkan tadbir urus, pembangunan generasi muda dan mutu pertandingan antarabangsa.
Mesyuarat Agung Pemilihan ASTAF dijadual berlangsung di Bangkok pada 9 Disember depan bagi melengkapkan pembentukan barisan kepimpinan baharu badan induk sepak takraw Asia itu. – DETIK MALAYSIA
