PETALING JAYA – Prinsip keadilan tidak boleh dilaksanakan secara terpilih, sebaliknya perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan, kekayaan, pengaruh politik atau hubungan seseorang dengan pihak berkuasa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkongsian hadis Rasulullah SAW oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keadilan susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah membawa mesej besar kepada negara.
Menurutnya, hadis berkenaan bukan sekadar peringatan bermusim, sebaliknya mengandungi prinsip asas dalam membina masyarakat bermaruah serta negara yang mempunyai integriti.
Beliau berkata, Rasulullah SAW memberikan amaran keras terhadap masyarakat yang mengamalkan dua darjat dalam pelaksanaan keadilan apabila golongan berkuasa dilindungi, manakala golongan lemah pula dihukum.
“Hadis ini mesti dibaca sebagai prinsip yang mengikat semua pihak termasuk kerajaan, institusi kehakiman, badan penguat kuasa dan pemimpin politik.
“Keadilan tidak boleh menjadi senjata terhadap lawan politik, sementara menjadi perlindungan kepada mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas isu Najib, beliau berkata, keputusan mahkamah perlu dihormati selagi dibuat menerusi proses kehakiman yang sah berdasarkan peruntukan undang-undang, bukti dan bidang kuasa mahkamah.
Katanya, pengampunan diraja pula merupakan prerogatif perlembagaan yang perlu dihormati mengikut kerangka undang-undang negara.
Bagaimanapun, pelaksanaannya termasuk syarat tahanan rumah perlu mempunyai asas perundangan yang jelas, telus dan konsisten bagi mengelakkan persepsi wujudnya keistimewaan kepada golongan tertentu.
“Persoalan lebih besar ialah bagaimana negara memastikan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang benar-benar diamalkan.
“Apakah seorang rakyat biasa yang disabitkan kesalahan mempunyai akses kepada pertimbangan dan layanan setara? Apakah prinsip sama akan digunakan terhadap mereka yang mempunyai kuasa ekonomi dan politik?” soalnya.
Mohd Azmi berkata, perkongsian hadis oleh Perdana Menteri merupakan peringatan yang baik, namun nilai sebenar mesej itu hanya dapat dibuktikan apabila diterjemahkan menerusi tindakan pentadbiran kerajaan.
Tegasnya, hadis Rasulullah SAW tidak seharusnya terhenti sebagai hantaran di Facebook, sebaliknya perlu menjadi panduan dalam setiap keputusan membabitkan keadilan.
Beliau turut mengingatkan supaya prinsip keadilan tidak diperalatkan bagi membina persepsi politik atau memenuhi kepentingan parti dan kelompok tertentu.
“Jika seseorang bersalah, kesalahannya hendaklah diputuskan melalui proses undang-undang yang adil. Jika seseorang diberikan hak di bawah undang-undang atau pengampunan yang sah, hak itu juga perlu dihormati.
“Negara tidak akan menjadi kuat kerana pemimpinnya pandai bercakap tentang keadilan. Negara menjadi kuat apabila pemimpinnya sanggup tunduk kepada prinsip keadilan, termasuk apabila prinsip itu tidak menguntungkan dirinya atau kelompok politiknya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat bukan sekadar menuntut keadilan untuk Najib, sebaliknya mahukan keadilan untuk semua lapisan masyarakat termasuk golongan kurang berkemampuan, mangsa salah guna kuasa dan penjawat awam yang berintegriti.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 135 yang menyeru umat Islam supaya menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah SWT walaupun terhadap diri sendiri, ibu bapa serta kaum kerabat.
“Cikgu Azmi ingin mengingatkan, jangan jadikan hadis sebagai hiasan kepada wacana politik. Jadikan hadis sebagai asas membina negara yang amanah.
“Jangan hanya mengingatkan orang lain supaya berlaku adil, tetapi pastikan kita sendiri tidak mengkhianati keadilan,” katanya.
Tambah beliau, keadilan sebenar tidak mengenal pangkat, tidak tunduk kepada wang, tidak takut kepada kuasa dan tidak memilih parti. – DETIK MALAYSIA
