KUALA LUMPUR – Kadar merokok dalam kalangan masyarakat Melayu yang mencatatkan 19.7 peratus membimbangkan dan memerlukan tindakan lebih serius bagi menangani isu ketagihan nikotin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian kerana turut memberi kesan terhadap kesihatan awam, kesejahteraan keluarga, produktiviti ekonomi dan pembentukan generasi muda.
Beliau berkata, berdasarkan analisis data Global Adult Tobacco Survey Malaysia 2023 (GATS-M 2023), kadar perokok semasa dalam kalangan orang Melayu berusia 15 tahun ke atas ialah 19.7 peratus.
Katanya, angka itu lebih tinggi berbanding masyarakat India sebanyak 18.2 peratus dan Cina (11.5 peratus), manakala Bumiputera lain mencatatkan 20.4 peratus dan kategori etnik lain sebanyak 39.1 peratus.
“Walaupun kategori etnik lain dan Bumiputera lain mencatatkan kadar lebih tinggi, jumlah perokok Melayu juga wajar diberikan perhatian kerana saiz populasi masyarakat Melayu yang besar.
“MAPIM-TERAS melihat perkara ini sebagai satu persoalan pembangunan ummah yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, amalan merokok bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah ahli keluarga turut terdedah kepada asap rokok pasif, khususnya kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.
Katanya, perbelanjaan membeli rokok juga boleh menjejaskan kewangan isi rumah, terutama keluarga berpendapatan rendah yang sepatutnya menggunakan wang berkenaan untuk keperluan makanan, pendidikan anak-anak, rawatan kesihatan dan simpanan.
Beliau berkata, ketagihan nikotin menyebabkan seseorang terus merokok walaupun menyedari kesan buruknya, justeru pendekatan pendidikan, sokongan pemulihan dan intervensi kesihatan berkesan perlu diperkasakan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, institusi masjid, surau, sekolah dan keluarga turut mempunyai tanggungjawab membina kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
Sehubungan itu, MAPIM-TERAS mengemukakan tujuh tuntutan tindakan termasuk menggerakkan kempen nasional bebas rokok dan nikotin serta memperluaskan program berhenti merokok melalui klinik kesihatan, hospital, masjid dan pusat komuniti.
Selain itu, pihaknya mahu institusi masjid dan surau memainkan peranan lebih aktif menerusi khutbah, kuliah serta program kesedaran kesihatan masyarakat.
Beliau turut menggesa penguatkuasaan terhadap penjualan produk tembakau dan vape kepada golongan bawah umur dipertingkatkan, selain kawalan terhadap pemasaran serta promosi produk nikotin.
“Tempat awam, institusi pendidikan, premis kesihatan dan persekitaran keluarga perlu menjadi ruang yang selamat daripada pendedahan asap rokok.
“Organisasi Islam, pertubuhan belia, persatuan pengguna dan NGO kesihatan juga perlu bergabung dalam satu gerakan masyarakat yang berterusan, bukan kempen bermusim,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat tidak seharusnya membiarkan ketagihan nikotin dianggap sebagai perkara biasa sehingga mempengaruhi generasi muda.
Justeru, MAPIM-TERAS menyeru supaya Gerakan Ummah Bebas Rokok dan Nikotin digerakkan pada peringkat nasional dengan penglibatan kerajaan, institusi agama, sekolah, keluarga dan masyarakat sivil.
“Menyelamatkan masyarakat daripada ketagihan nikotin ialah sebahagian daripada usaha membina ummah yang sihat, bermaruah dan berdaya maju,” katanya. – DETIK MALAYSIA
