KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melihat lebih banyak perkara positif berbanding negatif selepas skuad negara tewas 0-2 kepada China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Zhaoqing, Guangdong.
Beliau berkata, kekurangan kawalan di bahagian tengah menjadi antara kelemahan yang dikenal pasti ketika berdepan pasukan China yang memiliki kelebihan dari segi fizikal dan taktikal.
Menurutnya, peluang yang diberikan kepada pemain lain untuk beraksi di peringkat antarabangsa juga penting bagi meningkatkan pengalaman mereka.
“Sebagai jurulatih, saya merasakan mungkin terdapat kekurangan di bahagian tengah yang sedikit sebanyak menjejaskan kawalan bola kita ketika menentang China.
“Bagaimanapun, saya merasakan penting untuk memberi peluang kepada pemain lain mendapatkan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa, terutama menentang pasukan China yang kuat dari segi fizikal dan taktikal,” katanya.
Tan Cheng Hoe berkata, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan individu setiap pemain meskipun mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
Katanya, pemain sudah memberikan aksi terbaik dan pasukan negara memperoleh lebih banyak perkara positif daripada negatif menerusi perlawanan tersebut.
Beliau turut menyifatkan persembahan lebih baik pada babak kedua sebagai petanda positif menjelang aksi menentang Yemen pada 17 November ini.
“Kekalahan kepada China sedikit sebanyak menjejaskan tahap keyakinan pasukan.
“Bagaimanapun, dengan persiapan satu atau dua hari, saya merasakan pemain memperoleh pengalaman dan momentum yang baik, terutama selepas pasukan beraksi dengan baik pada babak kedua.
“Kita akan membawa momentum itu ke perlawanan seterusnya dan mahu mendapatkan kemenangan ke atas Yemen kerana ia akan memberikan keyakinan untuk masa depan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
