KUALA LUMPUR – Penjaga gol Kelantan Red Warrior (KRW) FC, Amin Faisal Saidi enggan menjadikan rekod bolos tinggi pasukannya sebagai alasan untuk terus hilang motivasi, sebaliknya menganggap sebagai cabaran buat dirinya terus bangkit mengharungi saingan Liga Super, musim ini.
Telah beraksi dalam lima daripada enam perlawanan liga musim ini termasuklah satu aksi di Piala FA menyaksikan pemain berusia 29 tahun ini telah bolos sebanyak 28 gol tanpa memenangi sebarang aksi setakat ini.
Sudah tentu, ia merupakan tekanan yang cukup besar kepadanya dalam menggalas tanggungjawab sebagai benteng terakhir skuad Pantai Timur itu, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Amin untuk terus bekerja keras memastikan pasukan mampu memberikan saingan disebalik kekangan yang ada.
KRW FC yang beraksi dalam kempen sulung Liga Super musim ini tampak masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tahap persaingan lebih tinggi, termasuk berdepan lawan yang memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan fizikal pemain.
“Semua tahu dengan kekangan pemain yang kita ada untuk pasukan ini dan sekarang kita cuba sedaya upaya untuk menggunakan corak permainan yang jurulatih, Iran Bakti terapkan daripada segi perubahan taktikal dan beliau nak kami semua terus ada sikap semangat juang di atas padang.
“Sebagai benteng akhir pasukan, saya tahu ia bukan mudah apatah lagi kelab ini hanya boleh gunakan pemain sedia ada sahaja dengan ada beberapa yang cedera dan adakala mereka pun terpaksa bermain walaupun cedera sebab dah tiada pilihan.
“Tapi apa pun, banyak yang saya belajar dan boleh dikatakan ini adalah fasa paling mencabar dalam karier saya dengan bolos banyak gol dan saya katakan kepada diri saya sendiri, tak kira susah macam mana pun, saya tak boleh putus asa dan kena terus berjuang untuk bantu kelab ini sehingga akhir musim,” jelasnya.
Bakal menerima kunjungan Sabah FC pada Sabtu depan (21 November) di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Amin sedar KRW FC berdepan tugas mencabar apatah lagi lawannya kini sekurang-kurangnya sudah merekodkan tiga kemenangan setakat ini, berbanding tuan rumah yang masih tercari-cari kemenangan pertama dalam kempen Liga Super.
Namun, persiapan rapi sudah dilakukan dalam tempoh Liga Malaysia berehat sebelum ini selain turut meneliti corak permainan Sabah, termasuk mengenal pasti ancaman penyerang, Gonzalo Di Renzo yang dilihat antara pemain berbahaya untuk beri tekanan kepada benteng pertahanan KRW.
“Selepas lawan Star City, kita ada banyak masa untuk tengok balik kelemahan pasukan, belajar kekuatan dan kelemahan Sabah FC sebab kita tahu mereka ada pemain import nombor 7 (Di Renzo) yang ada fizikal bagus, dan harus berjaga-jaga.
“Apa pun, kita tetap positif, cuba sebaik mungkin untuk perbaiki daripada segala aspek dan harap semuanya akan berjalan seperti yang dirancang,” tambahnya.
KRW FC yang masih belum mempunyai sebarang mata ketika ini menduduki tangga tercorot Liga Super selepas 6 perlawanan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kelantan Red Warrior FC
