KUALA LUMPUR – Kontinjen Remaja Muaythai Malaysia menutup kempen Kejohanan IFMA Youth World Championships (YWC) 2026 di Olympia, Greece dengan kejayaan membawa pulang 31 pingat.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia mengumpul 10 pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 6 hingga 16 November lalu.
Antara atlet yang mencuri tumpuan ialah Ameera Adellia Al Aizzad apabila meraih dua pingat emas menerusi acara kombat U12 Perempuan bawah 30 kilogram (kg) dan MT Technical U12 Perempuan bawah 30kg.
Lebih membanggakan, Ameera turut menewaskan wakil Rusia dalam perjalanannya meraih gelaran juara dunia remaja bagi kategori berkenaan.
Dia turut meraih satu lagi emas menerusi acara demonstrasi Chok Lom U12 Perempuan, namun pingat itu tidak termasuk dalam pungutan rasmi kontinjen negara.
Turut mencipta kejayaan ialah Katiana Funda Kara yang mengekalkan kejuaraan dunia remaja Wai Kru buat kali ketiga selepas sekali lagi meraih pingat emas dalam disiplin berkenaan.
Katiana turut dijadual mewakili Malaysia pada temasya Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di negara ini.
Selain itu, tujuh lagi atlet negara turut menyumbang pingat emas menerusi acara masing-masing iaitu Dylan Casey, Adrynna Tanicha, Harith Dazzel, Hana Humairah, Derylino Bin Dedi, Branson Yap dan Aisya Sofea.
Dalam pada itu, prestasi atlet remaja negara turut memperlihatkan kemampuan mereka memberikan saingan kepada negara kuasa besar Muaythai dunia.
Aisya Sofea yang beraksi dalam kategori U14 Perempuan bawah 46kg berjaya mara ke final acara kombat sebelum tewas tipis kepada wakil Rusia.
Zulkarnain yang bertanding dalam kategori U16 Lelaki bawah 45kg turut mara ke peringkat akhir sebelum tewas tipis kepada wakil Thailand.
Walaupun gagal meraih emas, pencapaian kedua-dua atlet itu menunjukkan potensi positif untuk terus diketengahkan dalam pembangunan sukan Muaythai negara.
Sementara itu, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan menerusi Program Bakat yang memberi peluang kepada atlet remaja menjalani persediaan lebih tersusun dan sistematik.
PMM turut menghargai sumbangan jurulatih, pegawai pasukan, persatuan negeri, ibu bapa serta semua pihak yang membantu persiapan kontinjen menghadapi kejohanan berkenaan.
Kejayaan mengutip 31 pingat itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
