KUALA LUMPUR – Pelumba sensasi Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum cemerlang apabila turun beraksi pada Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, Portugal dari 20 hingga 22 November ini.
Keyakinan pelumba berusia 19 tahun itu hadir selepas meraih keputusan memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada GP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail, minggu lalu.
Keputusan itu membolehkannya mengutip sembilan mata tambahan sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kelapan keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 125 mata.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu turut memanfaatkan tempoh rehat seminggu untuk meneruskan latihan intensif dan persiapan di Eropah menjelang dua pusingan terakhir musim ini.
Menurut Hakim Danish, pengalaman beraksi di Portimao musim lalu menjadi kelebihan buatnya untuk mengenal pasti beberapa aspek yang boleh diperbaiki bagi menghadapi perlumbaan kali ini.
Malah, litar sepanjang 4.59 kilometer itu cukup istimewa buat pelumba kelahiran Terengganu berkenaan apabila menjadi lokasi dia meraih mata pertama dalam Kejuaraan Dunia Moto3 menerusi kedudukan ke-12 musim lalu.
Ketika itu, dia diberi peluang menggantikan Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan.
“Saya sangat teruja untuk kembali berlumba di Portimao, lebih-lebih lagi apabila kita kini menghampiri dua pusingan terakhir musim ini.
“Saya mahu memberikan aksi terbaik dengan mengekalkan pendekatan sama seperti perlumbaan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, ZK Racing menegaskan pengalaman serta momentum yang dibawa dari Qatar penting bagi memastikan Hakim Danish terus konsisten dan mampu bersaing dengan kelompok pelumba di hadapan.
Justeru, pelumba muda negara itu mahu memulakan aksi dengan baik seawal sesi latihan bebas pertama (FP1) pada Jumaat bagi mendapatkan rentak kompetitif sepanjang hujung minggu perlumbaan.
“Fokus saya adalah untuk mendapatkan permulaan terbaik seawal FP1 dan terus memberikan saingan kompetitif dalam setiap sesi,” katanya.
Selepas GP Portugal, Kejuaraan Dunia Moto3 2026 bakal melabuhkan tirainya menerusi pusingan terakhir di Valencia dari 27 hingga 29 November ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
