Hafizuddin menerima insentif sempena Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Perlis di Sukan Malaysia (SUKMA) XXll Selangor, Sukan Para Sukma Selangor 2026, Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta Sukan Asia dan Para Asia Aichi-Nagoya
KANGAR – Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis menyambut baik inisiatif kebajikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memastikan atlet angkat berat kebangsaan kelahiran Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin, menerima bantuan menyeluruh susulan kemalangan jalan raya yang menimpanya baru-baru ini.
Pengarah MSN Perlis, Syed Ahmed Najib Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan serta KBS atas tindakan pantas, keprihatinan dan jaminan perlindungan menyeluruh yang diberikan kepada atlet berkenaan.
Menurutnya, inisiatif perlindungan menerusi kerjasama KBS, MSN, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Skim Lindung 24 Jam PERKESO merangkumi pelbagai bentuk bantuan.
“Antaranya pengekalan elaun latihan, pembiayaan penuh kos rawatan, manfaat insurans, pampasan pukal dan pencen ilat seumur hidup.
“Ia turut merangkumi kebajikan penginapan dan makan ahli keluarga di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, MSN Perlis turut menyelaras gerak kerja bersama MSN serta Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis bagi memantau perkembangan pemulihan Hafizuddin yang sedang menerima rawatan di HKL.
Katanya, komitmen pihaknya bukan sahaja tertumpu kepada bantuan sepanjang tempoh rawatan, malah turut merangkumi sokongan psikososial, rehabilitasi jangka panjang serta perancangan laluan kerjaya baharu selepas atlet itu pulih kelak.
Menurutnya, Hafizuddin merupakan permata sukan Perlis dan semangat juangnya sentiasa menjadi inspirasi kepada semua.
“Seluruh warga kerja MSN Perlis dan rakyat negeri ini mendoakan agar saudara Muhammad Hafizuddin dikurniakan kekuatan serta diberikan kesembuhan segera,” katanya. – DETIK MALAYSIA
