KUALA LUMPUR – KETUA jurulatih Công An Hà Nội FC (CAHN), Alexandre ‘Mano’ Polking bimbang tonggak serangannya, Nguyễn Đình Bắc mengalami keletihan fizikal menjelang aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup) 2026/2027 malam ini.
Kebimbangan itu disuarakan selepas pemain berusia 22 tahun tersebut beraksi selama 90 minit bersama skuad kebangsaan Vietnam ketika menentang Kyrgyzstan dalam perlawanan persahabatan pada 17 November lalu.
Đình Bắc turut mencuri perhatian apabila meledak gol pembukaan menerusi rembatan jarak jauh dalam perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, tempoh rehat kurang 48 jam sebelum pertemuan menentang JDT di Hanoi pada pukul 7.30 malam ini menimbulkan kebimbangan Polking terhadap tahap kecergasan pemain berkenaan.
Menurut Polking, jadual perlawanan yang padat boleh memberi kesan terhadap keadaan fizikal pemain muda itu, terutama jika perlu mengharungi sehingga 50 hingga 55 perlawanan dalam satu musim.
“Tiada siapa robot. Đình Bắc juga, walaupun sangat kuat, bukan mesin. Dia juga memerlukan rehat,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan, semalam.
Polking sebelum ini berharap Đình Bắc dapat diberikan ruang berehat daripada kem latihan skuad kebangsaan bagi memulihkan kecergasannya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kepentingan pemain itu kepada Vietnam dan memahami kebanggaannya menyarung jersi kebangsaan.
Jelasnya, pengurusan penggunaan pemain tersebut perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan keseimbangan antara komitmen bersama kelab dan negara.
“Saya akan menilai penggunaannya dengan berhati-hati. Bersama kelab, saya akan merancang kaedah terbaik bagi memastikan keseimbangan antara pasukan kebangsaan dan kelab,” katanya.
CAHN turut berdepan jadual mencabar selepas aksi menentang JDT apabila bakal mengharungi perlawanan menentang Vissel Kobe dalam Liga Juara-Juara AFC Elit sebelum bertemu Nam Định dalam saingan domestik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – CAHN
