KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membincangkan bentuk bantuan kewangan bagi membantu atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kehilangan kaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) OCM bagi mengenal pasti keperluan yang boleh disalurkan kepada atlet berkenaan dan keluarganya.
Menurutnya, beliau turut mengadakan perbincangan dengan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai program pemulihan serta perancangan masa depan Hafizuddin.
“Kita akan cuba yang terbaik dan saya pun ada berbincang dengan pegawai sukan daripada MSN dan juga ISN, apa program terbaik yang kita boleh buat untuk Udin selepas dia pulih sepenuhnya.
“Di peringkat OCM, saya senada dengan Presiden, mungkin kita akan bantu dari segi keperluan yang diperlukan oleh keluarga beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Hafizuddin yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.
Nur Azmi berkata, pihaknya mahu memberikan sokongan moral sepenuhnya kepada atlet itu yang pernah mengharumkan nama negara selepas meraih pingat emas pada temasya Komanwel baru-baru ini.
Katanya, walaupun Hafizuddin masih mampu bercakap dan tersenyum, pihaknya tidak mengetahui tekanan emosi yang sedang dihadapinya susulan kehilangan anggota badan.
Justeru, beliau berharap atlet itu dapat kembali aktif dalam bidang sukan lain, termasuk sukan para selepas pulih sepenuhnya.
Dalam pada itu, Nur Azmi mencadangkan supaya skim insurans atlet dinilai bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh, termasuk akses mendapatkan rawatan segera di hospital swasta sekiranya berlaku kecemasan.
Beliau turut berharap MSN mempertimbangkan penyediaan kemudahan pengangkutan 24 jam bersama pemandu bagi mengurangkan risiko atlet menggunakan kenderaan sendiri.
Katanya, kejadian kemalangan membabitkan atlet bukan perkara baharu kerana beberapa atlet karate termasuk Sree, Prem dan Suren juga pernah mengalami insiden sama.
“Atlet-atlet ini kita perlukan untuk mewakili negara, tetapi kita tidak mahu satu kerugian besar berlaku selepas keadaan Hafizuddin sekarang,” katanya.
Nur Azmi menegaskan kebajikan atlet, khususnya golongan muda, akan terus menjadi keutamaan MOM dan pihaknya akan berbincang bersama MSN serta ISN bagi mencari kaedah terbaik membantu atlet yang berdepan situasi seumpama itu. – DETIK MALAYSIA
