KUALA LUMPUR – Harimau Malaya mempamerkan aksi penuh bergaya apabila menumpaskan Laos 5-1 dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 (pusingan ketiga) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Anak buah Peter Cklamovski turun dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan 3-0 ke atas lawan sama di Stadium New Laos sebelum ini, dan kali ini mereka memanfaatkan sokongan padu penyokong tuan rumah untuk terus mengutip tiga mata berharga dalam kempen kelayakan.
Cklamovski hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama apabila Faisal Halim menggantikan Nazmi Faiz, manakala Laos membuat dua perubahan selepas kehilangan Sonevilay Phetviengsy yang cedera di bahagian kepala.
Malaysia hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Romel Morales yang melepaskan voli deras namun sedikit tersasar. Laos bagaimanapun mencuri tumpuan pada minit ke-17 apabila rembatan jauh Chanthavixay Khounthoumphone terkena kepala Sharul Saad sebelum menewaskan penjaga gol Syihan Hazmi memberikan kejutan awal buat penyokong tuan rumah.
Malaysia terus menggandakan asakan dan nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi tandukan La’Vere Corbin-Ong yang diselamatkan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan luar biasa Harimau Malaya. Minit ke-58, Faisal Halim memukau 60,000 penonton apabila sepakan percuma lencongnya dari luar kotak penalti menerjah jaring mengikat kedudukan 1-1.
Enam minit kemudian, Romel Morales menamatkan kemarau golnya bersama skuad kebangsaan apabila menyudahkan hantaran lintang Arif Aiman untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1.
Tidak lama kemudian, Morales sekali lagi menjadi wira apabila menyempurnakan umpanan Dion Cools pada minit ke-69 bagi menambah jaringan ketiga.
Kesilapan pertahanan muda Laos, Khammanh Thapaseut yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-79 menjadikan kedudukan 4-1 sebelum pemain gantian Paulo Josue meledak gol kelima hanya tiga minit selepas dimasukkan.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan selesa 5-1 buat Malaysia yang kini terus gah di tangga teratas Kumpulan F dalam misi memburu tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - AFC