KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan Ampang Park, Kuala Lumpur, yang dijadual berlangsung esok atas faktor keselamatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marcus berkata, hasil risikan dan analisis mendapati kawasan berkenaan dikategorikan sebagai Zon Merah, iaitu kawasan yang terlibat secara aktif dengan laluan-laluan protokol serta kediaman dan hotel yang menempatkan para delegasi sidang kemuncak itu.
“Kawasan Ampang Park terletak kurang 50 meter daripada Zon Merah dan berhampiran dengan Hotel InterContinental yang menjadi penginapan rasmi sebahagian besar delegasi ASEAN. Oleh itu, lokasi itu tidak sesuai untuk sebarang perhimpunan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Fadil, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama penganjur dan menawarkan beberapa lokasi alternatif termasuk Padang Merbok serta Dataran Merdeka, namun mereka masih berhasrat untuk meneruskan perhimpunan di Ampang Park.
“PDRM menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, namun ia mestilah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta mengambil kira keselamatan awam dan imej negara sebagai tuan rumah Sidang ASEAN,” tegasnya.
Beliau berkata, sekiranya ada individu yang tetap berdegil atau cuba memasuki kawasan Ampang Park, polis akan mengarahkan mereka bersurai dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
Tambahnya, Fadil menyeru semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa demi memastikan keselamatan dan kelancaran sidang kemuncak tersebut.
“Ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga tanggungjawab bersama untuk menjaga imej Malaysia di mata dunia. Semua pihak harus memainkan peranan dan menghormati arahan keselamatan yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemantauan dan tindakan awal akan dilakukan bagi mengelak sebarang bentuk provokasi atau insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang persidangan berlangsung.
“Sekiranya terdapat unsur hasutan atau tindakan yang melanggar undang-undang, kita akan membuka siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya
Katanya, PDRM akan terus komited memastikan keselamatan dan imej negara terpelihara sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung di ibu negara. - DETIK MALAYSIA