PUTRAJAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menegaskan semua warga Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi di bawahnya perlu bertindak segera dan penuh rasa tanggungjawab dalam menangani kejadian bencana alam yang semakin kerap berlaku akibat cuaca buruk kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook selepas Mesyuarat Pasca Kabinet KKR hari ini, beliau berkata tumpuan kini diberikan terhadap kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang dan banjir buruk di beberapa kawasan di Perak yang menjejaskan penduduk serta infrastruktur awam.
“Saya difahamkan kerja-kerja pembersihan telah pun dijalankan, namun keadaan cerun masih dipantau berikutan cuaca yang tidak menentu.
“Saya telah mengarahkan supaya tindakan pantas, penyelarasan di lapangan dan pelaporan terkini dilakukan tanpa sebarang lengah. Setiap jam amat berharga apabila nyawa dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.
Alexander Nanta turut mengingatkan seluruh jentera kementerian agar kekal proaktif, responsif dan bersatu tindakan, bukan hanya ketika berdepan krisis tetapi dalam setiap tugasan demi kesejahteraan rakyat serta keselamatan infrastruktur negara.
Beliau berkata, pendekatan pantas dan penyelarasan berkesan antara agensi adalah kunci bagi memastikan tindak balas kerajaan terhadap bencana alam dapat dilaksanakan dengan efisien dan berkesan. - DETIK MALAYSIA